Rabu, 22 November 2017 | 9:02pm
JABATAN Perhutanan Negeri Kedah menjalankan kerja memusnahkan tanaman kelapa sawit yang ditanam di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim seluas 30 hektar yang diteroka secara haram dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Strategi Lautan Biru (NBOS) peringkat negeri Kedah melibatkan 13 agensi hari ini. - Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Kedah
JABATAN Perhutanan Negeri Kedah menjalankan kerja memusnahkan tanaman kelapa sawit yang ditanam di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim.- Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Kedah
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menjalankan kerja memusnahkan tanaman kelapa sawit yang ditanam di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim.- Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Kedah
IMEJ satelit pencerobohan Kompartmen 25 dan 26 Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim, Kedah.

Jabatan Perhutanan bongkar pencerobohan Hutan Simpan Gunung Bongsu

KULIM: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) membongkar kegiatan sindiket yang aktif menceroboh kawasan hutan simpan di negeri ini, sebelum menjual kawasan terbabit yang diusahakan dengan kelapa sawit pada harga murah.

Pembongkaran kegiatan haram itu susulan penemuan aktiviti sindiket di kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Hutan Simpan Gunung Bongsu, di sini, iaitu kes ketiga dikesan JPNK di negeri ini.

Penemuan aktiviti pencerobohan di kawasan itu dikesan melalui imej satelit yang diperoleh daripada sistem kawalan jauh milik JPNK.

Pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Kedah Selatan, Mohamad Faisal Nasaruddin, berkata sindiket berkenaan bukan sahaja mencuri balak daripada hutan simpan yang diceroboh, sebaliknya turut mengaut untung berganda apabila mengusahakan semula tanah yang diceroboh dengan kelapa sawit yang kemudian tapaknya dijual pada harga lelong antara RM10,000 hingga RM30,000 setiap satu.

"Kita nasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan tawaran sebegitu kerana ia menyalahi undang-undang dan JPNK mempunyai kuasa untuk memusnahkan tanaman di kawasan yang diceroboh, termasuk menyita tanah terbabit.

"Kita mengesan aktiviti sindiket melalui dua kes sebelum ini iaitu di Bukit Perangin di Jitra and Bukit Perak di Pendang, yang membabitkan masing-masing kawasan seluas 20 hektar dan 36 hektar kawasan hutan simpan," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu hari ini JPNK memusnahkan kira-kira 4,000 pokok kelapa sawit di kawasan hutan simpan yang diceroboh di Kompartmen 25 dan 26 di Gunung Bongsu, melalui operasi bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang membabitkan 13 agensi.

Mengenai operasi hari ini, Mohamad Faisal, berkata selain 4,000 pokok, pihaknya dengan kerjasama agensi terbabit turut memusnahkan enam pondok yang dibina untuk kegunaan pekerja di ladang yang diusahakan di tapak haram itu.

"Sindiket ini dipercayai dalam proses menanam lebih banyak pokok kelapa sawit di kawasan yang diserbu ini, sebelum menjualnya kepada pembeli.

"Kita juga yakin mereka turut mengaut untuk dengan menjual balak yang diambil dari kawasan ini kira-kira setahun lalu, dengan harga pasaran mencecah RM100,000.

"Kita sedang berusaha mengesan individu di sebalik kegiatan pencerobohan hutan simpan ini dan kini kes disiasat mengikut Seksyen 81(g) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohamad Faizal berkata pihaknya akan meneruskan usaha penanaman semula di kawasan yang terjejas akibat penerokaan haram di Hutan Simpan Gunung Bongsu itu, dengan anggaran kos terpaksa ditanggung kira-kira RM100,000.

Berita Harian X