Khamis, 23 November 2017 | 3:40pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga dari kanan) melihat ambulans yang diterima Jabatan Kesihatan negeri, 19 daripadanya mempunyai fungsi yang lebih terkiniiaitu jenis A (Advanced) manakala selebihnya adalah jenis B atau 'Basic' di Hotel Seri Malaysia, Ipoh. - Foto Farah Suhaidah Othman

Jabatan Kesihatan Perak terima 28 ambulans baharu

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak menerima 28 ambulans baharu bernilai RM12.9 juta yang akan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pesakit di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata 19 daripada ambulans berkenaan adalah jenis A yang mempunyai fungsi yang lebih terkini manakala selebihnya jenis B atau asas.

Katanya, bagi pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung, mereka boleh mendapatkan rawatan kecemasan awal dalam ambulans jenis A tanpa perlu menunggu rawatan di wad kecemasan.

"Kelengkapan yang lebih terkini dalam ambulans berkenaan mampu memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit terbabit sekali gus dapat menjimatkan masa untuk merawat pesakit.

"Ambulans ini setiap satunya dilengkapi kelengkapan perubatan berharga RM489,000 bagi jenis A manakala bagi jenis B berharga RM411,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeriksa 28 ambulans yang diterima Jabatan Kesihatan Negeri sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

Dr Mah berkata, sebanyak 55 ambulans baharu diperuntukkan di negeri berkenaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan diserahkan kepada jabatan terbabit secara berperingkat.

"Hari ini, Jabatan Kesihatan negeri menerima 28 ambulans bagi kegunaan hospital di negeri ini manakala 27 ambulans lagi akan diserahkan kepada klinik kesihatan pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, pertambahan ambulans baharu itu diharapkan dapat menggantikan ambulans yang uzur serta meningkatkan perkhidmatan ambulans di hospital di negeri ini.

Katanya, apa yang penting adalah perancangan untuk sentiasa menaik taraf kemudahan kesihatan rakyat di negara ini serta memastikan perkhidmatan kesihatan diberikan kepada rakyat lebih berkualiti.

Berita Harian X