Isnin, 27 November 2017 | 1:16pm
ABD Mutalip Abd Rahim. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pinjaman belajar ke Jordan, Mesir

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor akan terus memberikan inisiatif bantuan dermasiswa dan pinjaman pada pelajar dari negeri ini yang ingin melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata bantuan itu termasuk pemberian kepada permohonan pelajar baharu, meskipun beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA sudah membekukan permohonan kepada kumpulan itu.

Katanya, pemberian bantuan itu tertakluk kepada kuota yang ditetapkan kerana perbelanjaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga perlu mengambil kira keperluan asnaf lain di negeri ini.

"Bantuan dermasiswa pelajaran disediakan untuk pelajar pengajian Islam berjumlah RM6,000 setahun bagi pelajar di Mesir, manakala RM8,000 bagi pelajar di Jordan.

"Bagi pelajar bidang perubatan dan pergigian menerima pinjaman pelajaran sebanyak RM30,000 setahun untuk enam tahun pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ketika menjawab soalan Abdullah Husin (PAS-Puteri Wangsa) pada Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-13, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abd Mutalip berkata, MAINJ akan memperuntukkan RM17.2 juta, tahun depan sebagai bantuan kepada 48,330 pelajar kurang berkemampuan dalam pelbagai kategori dan peringkat pendidikan.

"Peruntukan pembiayaan pinjaman pelajaran menggunakan sumber Baitulmal dan bukan zakat, manakala bagi bantuan dermasiswa pula, sumber kewangannya daripada asnaf miskin bagi pelajar kurang berkemampuan dan sumber fisabilillah bagi pelajar di luar garis kemiskinan," katanya.

661 dibaca
Berita Harian X