Sabtu, 2 Disember 2017 | 12:30pm
TAN Sri Lodin Wok Kamaruddin (berdiri lima dari kiri) melepaskan peserta Program Kayuhan Budi sambil diiring Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun (enam dari kiri) di Kota Kinabalu.- Foto Mohd Nazllie Zainul

TP1B berjaya kumpul RM14 juta

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) kini sudah mengumpul dana kira-kira RM14 juta sejak ditubuhkan lebih dua tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata semua dana itu adalah hasil penganjuran program di bawah TP1B, termasuklah majlis makan malam dan sumbangan daripada alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Ketika awal penubuhan tabung ini, kita sudah menganjurkan acara makan malam dan berjaya mengutip dana hampir RM10 juta.

"Semua dana yang kita dapat ini disalurkan kembali sama ada kepada pelajar yang masih menuntut atau tamat belajar di UiTM bagi tujuan kebajikan.

"Selain itu, kita juga akan menghulurkan bantuan kepada keluarga warga UiTM dan alumni sekiranya mendapati mereka memerlukan bantuan yang sewajarnya," katanya ketika sidang media selepas acara pelepasan peserta Program Kayuhan Budi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun untuk mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Kayuhan Budi disertai kira-kira 130 peserta terdiri daripada warga UiTM, alumni dan orang awam serta mempunyai dua pilihan iaitu jarak 30 kilometer (km) serta 80 km.

Mensasarkan penganjuran program sebanyak 10 peringkat dengan membabitkan beberapa kampus UiTM di seluruh negara dengan jumlah jarak kayuhan 2,218 km.

UiTM Sabah adalah lokasi pertama kayuhan itu sebelum diteruskan ke Semenanjung dan berakhir di Sarawak pada tahun hadapan.

Sempena program itu, TP1B telah menyerahkan sumbangan kepada 22 pelajar UiTM Sabah sebanyak RM300 seorang.

Dalam pada itu, Lodin Wok berkata objektif Kayuhan Budi adalah untuk memperkenalkan TP1B kepada masyarakat setempat di setiap lokasi penganjuran selain mengutip dana.

"Kita turut melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan di samping penggambaran dokumentari mengenai UiTM," katanya.

Sementara itu, Masidi meminta semua alumni, khususnya alumni UiTM Sabah yang sudah berjaya di dalam kerjaya masing-masing untuk kembali menghulurkan sumbangan melalui TP1B.

"Saya percaya setiap bekas mahasiswa mampu membantu universiti ini bagi melahirkan lebih ramai golongan berjaya dalam pelbagai bidang," katanya.

Berita Harian X