Ahad, 3 Disember 2017 | 11:50am
SEBAHAGIAN peserta menyertai cabaran Kiulu Adventure Challenge 2017 di Pekan Kiulu. - Foto Lano Lan
PENGERUSI Lembaga Pelancongan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (tengah) bersama Pengerusi Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) Dr. Edmon Guntis (tiga dari kiri) melepaskan peserta acara berbasikal pada Kiulu Adventure Challenge 2017, di Pekan Kiulu. - Foto Lano Lan

Cabaran Pengembaraan Kiulu 2017

KIULU: Cabaran Pengembaraan Kiulu 2017 Ketiga bermula di Rumah Tradisi Kiulu, Tuaran, dekat sini, hari ini.

Pelepasan peserta dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, kira-kira jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, cabaran kali ketiga itu mendapat kira-kira 600 penyertaan dari dalam dan luar negara.

"Sambutan amat menggalakkan sehingga kita terpaksa mengehadkan penyertaan. Pada mulanya penganjur cuma mengehadkan kepada 500 orang, tetapi kita buka hingga lebih 600 orang.

"Ini pertama kali kita adakan tempat permulaan dan penamat larian di pekan Kiulu, membolehkan peniaga mendapat manfaat daripada program ini," katanya pada sidang media di sini.

Joniston berkata, ada 50 gerai yang menjual produk kraftangan, makanan dan minuman dibuka sempena acara berkenaan.

Katanya, acara itu bukan hanya untuk sukan tetapi memberi manfaat kepada peniaga dan penduduk Kiulu.

Beliau berkata, bagi memastikan pelancongan di luar bandar seperti Kiulu berkembang, kemudahan infrastrutur perlu diutamakan.

"Ini termasuklah jalan raya yang baik, kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

"Saya berharap penduduk termasuk pemimpin setempat akan terus memberi sokongan bagi memajukan industri pelancongan luar bandar sekali gus merancakkan ekonomi di Kiulu," katanya.

Mengenai pengembaraan itu, beliau berkata, acara utama ialah larian dan berbasikal sekitar Sungai Kiulu.

"Peserta yang berbasikal melalui laluan kampung sejauh 30 kilometer (km) manakala larian ialah 13 km berhampiran Sungai Kiulu, yang terkenal sebagai sungai bersih," katanya.

Berita Harian X