Ahad, 3 Disember 2017 | 12:57pm
PENGASAS produk Cuka Rambutan 'Motan', Masitah Mohamad (kanan) dari Institut of Food Security & Sustainable Agriculture (IFSSA) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerangkan hasil produknya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat merangkap Pengerusi ICT Gateway Sdn Bhd, Datuk Hanifa Ahmad (dua kanan) yang merasmikan penutup Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 1.0 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan. - Foto Zaman Huri Isa

2,000 pengunjung hadiri Karnival Sains dan Teknologi di UTC Kelantan

KOTA BHARU: Kira-kira 2,000 pengunjung menghadiri Karnival Sains dan Teknologi Kelantan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, sehingga tengah hari ini, dengan 49 arca penguin emperor bersaiz sebenar menjadi antara tarikan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata karnival dua hari bermula semalam turut menyaksikan penyertaan lebih 50 usahawan tempatan dan luar negeri.

Katanya, program yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival ICT dan dijenamakan semula itu adalah satu aspirasi kerajaan bagi mengembangkan pengetahuan rakyat mengenai bidang sains dan teknologi.

"Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah pameran 49 arca penguin emperor oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan kubah mini dalam bentuk tiga dimensi yang dibawa Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu," katanya selepas merasmikan majlis penutupan karnival terbabit di sini.

Pengunjung, Azman Abdul Rahman, 45, berkata lokasi karnival di UTC memberi keselesaan kepada pengunjung selain memudahkan sebahagian pengunjung menyelesaikan beberapa urusan di UTC.

"Selain dapat meluangkan masa bersama anak, saya dapat menyelesaikan urusan pembaharuan cukai kenderaan di sini," katanya.

Berita Harian X