Isnin, 4 Disember 2017 | 12:43pm
SEMBILAN kanak-kanak berketurunan Tionghua antara 80 kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai secara percuma di pejabat pilihan raya DUN Bukit Panau.
SEMBILAN kanak-kanak berketurunan Tionghua antara 80 kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai secara percuma di pejabat pilihan raya DUN Bukit Panau.

9 kanak-kanak Tionghua berkhatan beramai-ramai

TANAH MERAH: Pengalaman sembilan kanak-kanak keturunan Tionghua berkhatan beramai-ramai menerusi program Khatan Perdana, di sini, menjadi kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat mereka

Majlis berkhatan di Pejabat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau itu diadakan termasuk 80 kanak-kanak lain.

Kehadiran kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun pada majlis itu menarik perhatian ramai berikutan, kali pertama mereka menyertai program berkhatan yang dianjurkan UMNO Bahagian Tanah Merah.

Ang Yik Wei,12, berkata pelbagai gelagat dilihat ada yang takut, cemas dan khuatir sejurus sebelum dibawa masuk ke bilik berkhatan.

"Kehadiran ibu bapa yang menemani saya meredakan debaran sekali gus menyebabkan rasa gementar hilang.

"Pengalaman ini adalah peluang terbaik dan tidak akan dilupakan sepanjang hayat dan boleh dikongsi bersama keluarga serta rakan," katanya.

Rakannya, Pah Jian Hua, 11, pula teruja dan tidak nyenyak tidur menunggu hari berkhatan.

"Ibu ada memberitahu berkhatan banyak manfaat sebelum kami melangkah ke alam dewasa dan antara lain menjamin kebersihan serta kurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya BN DUN Bukit Panau, Dayang Saniah Awang Hamid, berkata sembilan kanak-kanak keturunan Tionghua itu adalah antara 80 kanak-kanak yang menyertai program berkhatan berkenaan tahun ini.

Terdahulu kanak-kanak terbabit dimandikan beramai-ramai dengan pancutan air oleh bomba dan diberi makan pulut semangat sebelum dikhatankan.

Berita Harian X