Selasa, 5 Disember 2017 | 2:45pm
DATUK Hasanuddin Hassan.- Foto Syamsi Suhaimi

Tiada kes pecah rumah sepanjang banjir

KOTA BHARU: Tiada kejadian pecah rumah atau kecurian kenderaan dilaporkan sepanjang musim banjir bermula 26 November sehingga kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata tiada laporan polis diterima daripada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh berkenaan.

Katanya, ini kerana anggota polis sudah diarah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan dikenal pasti rumah mereka dinaiki air, termasuk dengan menaiki bot.

"Sepanjang banjir, hanya satu kes lemas dilaporkan membabitkan penunggang motosikal berusia 26 tahun ketika melalui kawasan yang ditenggelami air di Kampung Kenak, Pasir Mas, Khamis lalu.

"Justeru, kita memberi jaminan kepada penduduk kampung bahawa kediaman mereka selamat dan meminta berpindah sekiranya kediaman penduduk dinaiki air," katanya di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, penduduk juga diingatkan lebih berjaga-jaga dengan gelombang banjir kedua dan tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

66 dibaca
Berita Harian X