Selasa, 5 Disember 2017 | 8:17pm
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan 256 penerima Anugerah Sijil dan Lencana Pengakap Raja Bagi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor Tahun 2017 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

256 remaja terima Sijil Pengakap Raja

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan menganugerahkan Sijil Pengakap Raja beserta Lencana Pengakap Raja kepada 256 Pengakap Remaja di seluruh Selangor.

Penerima terdiri daripada Pengakap Remaja yang lulus cemerlang dalam Ujian Penarafan Pengakap Raja, yang dilaksanakan oleh Lembaga Penarafan Pengakap Raja Negeri Selangor.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Ishak Mohd Jonid, berkata perakuan Pengakap Raja itu diputuskan oleh Lembaga Penarafan Pengakap Raja Selangor.

"Ini anugerah tertinggi di Malaysia bagi Pengakap Remaja (yang berusia 17 tahun hingga 18 tahun) dan sijil yang diterima oleh mereka sangat unik kerana ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.


ANTARA penerima yang hadir pada Majlis Anugerah Sijil dan Lencana Pengakap Raja Bagi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor Tahun 2017 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Pengakap Remaja yang menerima sijil dan lencana Pengakap Raja hari ini adalah mereka yang lulus pelbagai tahap ujian yang bermula sejak Tingkatan Satu.

"Ujian ini harus diikuti dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima kerana setiap peringkat ada skim latihan berbeza. Semakin tinggi, semakin meningkat tahapnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja bagi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Ishak berkata, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Selangor berjaya melahirkan ramai Pengakap Remaja setiap tahun.


ANTARA penerima yang hadir pada Majlis Anugerah Sijil dan Lencana Pengakap Raja Bagi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor Tahun 2017 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.-Foto Faiz Anuar

"Berbanding negeri lain di Malaysia, Selangor adalah negeri yang mengeluarkan Pengakap Remaja paling ramai.

"Bagaimanapun, Pengakap Remaja tidak boleh sewenang-wenangnya memberi bantuan, contohnya ketika banjir kerana mereka masih di bawah pengawasan dan tanggungjawab ibu bapa serta guru," katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat menghargai keberangkatan Sultan Sharafuddin menghadiri istiadat itu.

1250 dibaca
Berita Harian X