Khamis, 7 Disember 2017 | 9:24am
KEADAAN paras air di sekitar Tumpat mula surut. - Foto Fathil Asri.

Hanya tinggal 32 mangsa banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan masih berbaki 32 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Kesemua mangsa berkenaan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat.

Banjir di Kelantan sudah pulih sepenuhnya, namun mangsa yang masih berada di PPS terbabit akibat kediaman mereka masih dilanda 'banjir termenung'.

Berdasarkan portal eBanjir, hanya tinggal satu PPS masih dibuka, manakala lain-lain daerah sudah ditutup sepenuhnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca tahap kuning atau waspada di empat negeri di Pantai Timur Semenanjung, bermula hari ini hingga Ahad ini.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari, berkata hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, iaitu di Jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta keseluruhan Terengganu.

Katanya, di Pahang ia membabitkan daerah Jerantut, Kuantan, Maran, Temerloh, Pekan dan Rompin manakala di Johor pula membabitkan daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.

141 dibaca
Berita Harian X