Khamis, 7 Disember 2017 | 6:10pm
MANGSA banjir, Noor Azlina Abdul Rahman, 43, dibantu anaknya Puteri Balqies Naser, 9, membersih kawasan rumahnya yang ditenggelami air sedalam semeter ketika banjir baru-baru ini selepas mereka sekeluarga pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ditemui di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

Cuci ala kadar kerana gelombang kedua akan menyusul

TUMPAT: Banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini yang sudah berakhir menyebabkan penduduk kampung yang terbabit mula melakukan operasi pembersihan.

Bagaimanapun tidak bagi sebahagian besar penduduk di sekitar Kampung Teluk Jering, Kajang Sebidang, Simpangan, Bendang Pak Yong dan Kubang Sawa kerana banjir di kawasan itu masih lagi 'termenung'.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Nor Azlina Abd Rahman, 43, berkata air masih lagi bertakung di sekitar rumah walaupun hujan sudah berhenti.

"Pembersihan yang dilakukan ini bukan sebab rumah sudah boleh diduduki tapi kerana ingin mencuci selut dan mengeluarkan air yang terperangkap.

"Ketika banjir minggu lalu air naik sehingga satu meter di dalam rumah dan saya bersama enam anak terpaksa menumpang di rumah mentua di Kampung Palas Merah tidak jauh dari sini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nor Azlina berkata semua barang dan peralatan di dalam rumah terpaksa dialihkan ke rumah ibu mentua yang terletak di hadapan rumahnya bagi mengelakkan rosak.

Katanya, barang yang agak ringan seperti baju, peralatan sekolah dan buku disimpan di atas rak yang dibina khas di dalam bilik kerana kawasan kampung itu memang sering dilanda banjir.

"Kami mula berpindah sejak Rabu minggu lalu dan hari ini baru berpeluang untuk menjenguk rumah dan mencuci ala kadar.

"Risau juga tinggalkan rumah dalam tempoh lama kerana bimbang ada haiwan berbisa yang menumpang," katanya yang menemui anak ular ketika membersihkan rumahnya.

168 dibaca
Berita Harian X