Selasa, 12 Disember 2017 | 12:51pm
LEBUHRAYA Senai-Desaru (SDE).

Naik taraf SDE beri manfaat pada penduduk

Tender naik taraf SDE dibuka tahun hadapan

[email protected] 

PENGERANG: Mengambil kira keperluan dan permintaan rakyat, kerajaan hari ini meluluskan projek menaik taraf sebahagian Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerja naik taraf itu membabitkan pembinaan 26 kilometer laluan dua lorong sedia ada kepada empat lorong dua hala bagi keselesaan pengguna.

Beliau yang enggan mendedahkan nilai projek berkenaan berkata, kerja naik taraf itu kini di peringkat akhir kaji selidik dan memuktamadkan reka bentuk sebelum tender dibuka pada tahun hadapan.

"Kita (kementerian) juga sudah mendapatkan kelulusan secara prinsip dan ditenderkan untuk naik taraf SDE daripada dua lorong menjadi empat lorong dua hala.

"Perkara ini (naik taraf) akan ditender tahun hadapan dan dengan itu secara keseluruhan kawasan Pengerang dengan jaringan jalan rayanya dapat disiapkan dan tingkatkan aktiviti serta ekonomi setempat di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan fasa pertama jalan baharu FT092 ke Pusat Latihan Rekrut (PULAREK), sepanjang 14 kilometer di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohamad.

Pembinaan jalan baharu berkenaan bakal memberi manfaat kepada 20,000 penduduk dan pemain industri di kawasan Pengerang seterusnya memberi sokongan kepada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Fadillah berkata, kerja naik taraf SDE yang disusuli pembinaan empat fasa jalan FT092 bernilai RM1.86 bilion akan memberi akses kepada penduduk, selain membantu pelaburan berimpak tinggi industri berasaskan eksport.

SDE sepanjang 77 kilometer menghubungkan Senai ke Bandar Penawar, Kota Tinggi mula dibuka kepada pengguna, pada Jun 2011.

Bagaimanapun, laluan daripada susur keluar tol Cahaya Baharu, Masai menuju ke Bandar Penawar, dibina dengan laluan dua lorong dua hala sehingga ke tol Bandar Penawar.

Keadaan lebuh raya berkenaan turut menimbulkan kebimbangan ramai pengguna yang membuat aduan berkenaan faktor keselamatan dan keselesaan selain pernah berlaku beberapa kali kemalangan maut di laluan berkenaan.

Berita Harian X