Selasa, 12 Disember 2017 | 6:31pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar bergambar bersama penerima-penerima semasa majlis penyerahan sumbangan AirAsia kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turut bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid di Ibu pejabat AirAsia, RedQ. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

AirAsia sumbangkan SSPN-i kepada pelajar miskin

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Bhd (AirAsia), menyumbangkan RM121,750 kepada 2,435 pelajar kurang bernasib baik dari sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, berkata sumbangan itu diberi sebagai insentif Geran Sepadan yang disalurkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, penerima terdiri daripada pelajar tahun satu di sekolah bantuan penuh kerajaan dengan masing-masing menerima sumbangan RM50 sebagai tabungan pendidikan.

"Kami kami berbesar hati untuk menyumbang bagi masa depan pelajar dan pada masa yang sama, turut menyokong usaha PTPTN," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Pendidikan di sini, hari ini.


TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching menyaksikan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar menyampaikan sumbangan sebanyak RM 121,750 kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid (tiga dari kanan) semasa majlis penyerahan sumbangan di Ibu pejabat AirAsia, RedQ. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pada majlis penyerahan itu, Aireen mewakili AirAsia, manakala PTPTN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mastura Mohd Khalid, dengan disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Sementara itu, Mary berkata pihaknya memuji sikap prihatin AirAsia untuk membantu pelajar dan menggesa syarikat korporat lain menjadikannya iktibar untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Beliau juga yakin bantuan kebajikan itu dapat memastikan pembelajaran pelajar terbabit berterusan dan memberi peluang kepada mereka untuk terus maju dalam bidang pendidikan.

"Bantuan ini juga secara tidak langsung menjadi motivasi kepada ibu bapa bagi memulakan penabungan di SSPN-i untuk memastikan masa depan akademik anak-anak lebih terjamin," katanya.

Berita Harian X