Selasa, 12 Disember 2017 | 7:49pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhamad Amin Zakaria (tiga dari kanan) melawat kilang memproses produk berasaskan durian di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) Batu Kurau. - Foto Nor Raidah Awang

Kaedah baharu tanam durian tempoh singkat

BATU KURAU: Pengeluaran buah durian dalam tempoh singkat melalui kaedah cantuman terkini termasuk yang ditanam di Perak, memberi kelebihan dalam memenuhi permintaan tinggi dari luar negara terutama China.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, berkata kaedah cantuman dewasa pokok durian menggunakan kaedah terkini dijangka mempercepatkan tempoh pengeluaran dan penghasilan buah itu kepada empat tahun saja.

"Berdasarkan data dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), eksport buah durian ke luar negara termasuk China bernilai RM74.4 juta pada tahun lalu berbanding RM27.1 juta pada tahun 2011.

"Ini menunjukkan permintaan durian ke luar negara semakin bertambah setiap tahun dan peningkatan ini dijangka mampu dipenuhi dengan kaedah cantuman dewasa ini," katanya selepas merasmikan Majlis Touch Point Pemasaran Durian 2017 anjuran FAMA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Basri Jasmo.

Pada majlis itu, enam usahawan menerima sumbangan barangan keperluan perniagaan masing-masing membabitkan jumlah RM145,511 daripada FAMA, selain 80 pekebun durian tempatan menerima sumbangan input pemasaran.

Muhammad Amin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat kilang memproses produk berasaskan durian. Batu Kurau antara pengeluar durian terkenal dengan keenakan buahnya.

Beliau berkata, kaedah terkini hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pertanian selaras hasrat kerajaan mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan tropika seperti durian.

"Cantuman dewasa ini berbeza dengan kaedah penanaman anak pokok durian biasa dan tut kerana ia mampu mempercepatkan hasil pengeluaran buah durian seawal empat tahun," katanya.

Berita Harian X