Rabu, 13 Disember 2017 | 4:14pm
FOTO hiasan.

Cabaran pekerja wanita asing di Malaysia

PETALING JAYA: Kebanyakan wanita asing yang datang ke negara ini untuk bekerja, berdepan pelbagai penderaan seksual seperti cabul dan rogol di tempat kerja.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das, berkata dalam sesetengah kes, hak mereka sebagai wanita juga dinafikan oleh segelintir majikan.

Beliau memberi contoh, kes pekerja wanita dalam kalangan warga asing yang hamil dan terpaksa menggugurkan kandungan.

"Undang-undang negara ini melarang pekerja asing wanita hamil ketika bekerja, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menggugurkan kandungan. Ia menafikan hak mereka sebagai wanita.

"Malah lebih teruk, mereka (pekerja asing wanita) juga berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana menggugurkan kandungan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Penutup Kempen 16 Hari Aktiviti Memerangi Keganasan Mengikut Jantina di Ibu Pejabat Tenaganita, di sini hari ini.

Kempen berkenaan sempena Hari Hak Asasi Manusia yang disambut pada 10 Disember dengan tema 'Leave No One Behind: End Violence Against Women and Girls'.

Tenaganita adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang aktif memperjuangkan hak wanita.

Das berkata, ramai juga wanita warga asing terbabit dalam industri seks di negara ini yang berpunca daripada aktiviti penyeludupan manusia.

"Kes sedemikian juga adalah antara contoh pencabulan hak asasi golongan wanita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Tenaganita juga menjalankan kajian dengan kerjasama Universiti Colorado, Amerika Syarikat pada Mac hingga Mei lalu yang bertumpu kepada pelarian Rohingya ditempatkan di sekitar Gombak, Selangor.

Katanya, tujuan kajian itu adalah untuk mendapatkan maklum balas pelarian Rohingya yang menyaksikan tingkah laku keganasan dalam keluarga sebelum usia mereka mencecah 18 tahun.

"Kajian membabitkan 50 pelarian Rohingya dan daripada jumlah itu, 70 peratus mengku pernah menyaksikan keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh bapa atau saudara lelaki ke atas ibu atau saudara perempuan mereka," katanya.

Beliau berkata, hasil berkenaan adalah dalam fasa pertama daripada empat fasa kajian yang keseluruhannya membabitkan 500 pelarian yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

"Menerusi fasa pertama juga, kami dapati isu berkaitan kesihatan mental yang dialami kanak-kanak, mangsa dan pelaku keganasan sangat membimbangkan.

"Daripada sesi temubual bersama kumpulan pelarian terbabit, kita akan wujudkan kumpulan perbincangan menerusi fasa kedua untuk mencegah tingkah laku keganasan serta menggalakkan mangsa mendapat bantuan segera.

"Dalam fasa ketiga pula, kita akan menilai sejauh mana keberkesanan kempen berkenaan, manakala fasa terakhir adalah untuk mengembangkan lagi usaha memerangi keganasan mengikut jantina," katanya.

Glorene berkata, keganasan rumah tangga dalam kalangan pelarian Rohingya adalah satu budaya yang dibawa dari negara asal mereka.

"Bagaimanapun menerusi pendidikan dan ekonomi yang lebih stabil, lelaki Rohingya akan lebih menghormati pasangan mereka kerana menganggap wanita juga boleh mencari rezeki untuk keluarga.

"Antara saranan Tenaganita bagi menangani keganasan dalam kalangan pelarian Rohingya adalah kerajaan membenarkan mereka bekerja dan belajar secara sah di negara ini," katanya.

678 dibaca
Berita Harian X