Khamis, 14 Disember 2017 | 1:09pm

'Dikandar, dibuai, dikendong sebelum...'

MUAR: Lain padang lain belalang, lain lubuk lainlah ikannya.

Itulah pepatah yang boleh menggambarkan tradisi lama penduduk di Mukim Sungai Balang di sini setiap kali tibanya berkhatan.

Ketika ramai ibu bapa sekarang lebih memilih perkhidmatan berkhatan di hospital dan klinik swasta menggunakan teknologi terkini, penduduk di kampung terbabit menghidupkan semula amalan tradisi berkhatan yang semakin dilupakan.

Justeru, gabungan tiga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Sungai Balang, hari ini menganjurkan program berkhatan beramai-ramai.

Uniknya, setiap peserta khatan dikandar dengan bergayut dalam buaian menggunakan kain pelikat yang diikat pada batang buluh.

Semua 20 kanak-kanak itu dikendong oleh ahli keluarga masing-masing menuju ke dewan sambil diarak sekeliling kampung sebelum dikhatankan.

SERAMAI 20 peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Anjuran Gabungan Tiga KRT Mukim Sungai Balang diarak dengan menggunakan buaian kandar buluh, dipikul dan dikendong oleh ahli keluarga masing-masing sebelum disiram menggunakan hos bomba dan dikhatankan di D'Impian Country Resort, Kampung Sungai Belukang, Mukim Sungai Balang, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Pengerusi KRT Damai, Abdul Hadi Anang, berkata program berkhatan yang julung kali diadakan ini bertujuan mengembalikan semula nostalgia keunikan berkhatan yang dilakukan di kawasan Mukim Sungai Balang pada zaman dahulu.

Katanya, inisiatif ini dilakukan selepas tradisi berkhatan di kampung terbabit mula berkurangan berikutan ramai ibu bapa lebih selesa membawa anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta sahaja.

"Bezanya pada zaman datuk dan nenek kita dahulu, setiap peserta yang akan dikhatankan ini akan dikandar dan dikendong oleh ahli keluarga atau bapa masing-masing sambil diarak ke sekeliling kampung terlebih dahulu.

"Kemudian mereka disiram secara beramai-ramai sebelum proses berkhatan dimulakan oleh Tok Mudim atau doktor.

"Tujuan utama tradisi ini untuk mengurangkan perasaan takut dan debaran kanak-kanak yang akan berkhatan," katanya ketika ditemui pada Program Khatan Beramai-Ramai di D'Impian Country Resort Kampung Sungai Belukang, Mukim Sungai Balang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Muar dan Tangkak, Nurul Hudah Maon; Ketua Kampung Sungai Muda, Ayub Atan; Pengerusi KRT Sungai Gersik, Roslan Atan dan Pengarah Program berkenaan, Md Taib Md Suhut.

Seramai 20 kanak-kanak menyertai program terbabit yang dianjurkan KRT Damai Kampung Sungai Pulai dengan kerjasama KRT Kampung Air Panas dan KRT Kampung Sungai Sudah serta persatuan penduduk kampung sekitar Mukim Sungai Balang.

Abdul Hadi berkata, beliau berharap menerusi program seumpama ini dapat mengembalikan semua amalan tradisi dan warisan yang terdapat di kawasan kampung ini, pada masa depan.

Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan ikatan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung terbabit.

Sementara itu, Md Taib berkata, pihaknya berasa bersyukur kerana inisiatif berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peserta yang dilakukan secara sukarela ini.

"Tujuan program bagi mengikut tradisi lama penduduk di sini pada zaman dahulu. Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama baik daripada penduduk khususnya daripada ibu bapa.

"Insya-Allah, kita berharap program julung kali ini akan dapat diteruskan pada masa depan. Secara tidak langsung menjadi platform mengeratkan lagi hubungan erat, kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan masyarakat di sini," katanya.

Peserta termuda, Muhd Ammar Anuar, 4, berkata dia teruja untuk turut berkhatan dalam program itu kerana melihat abangnya serta sepupunya berusia lima dan enam tahun menyertai program berkenaan.

"Seronok kerana ada ramai kawan berkhatan. Sakit sedikit sahaja.," katanya.

Bagi Muhammad Haziq Suhaimi, 6, berkata dia turut teruja kerana dapat berkhatan pada program itu yang disifatkannya sebagai kenangan dalam hidupnya.

"Rasa gembira kerana dapat berkhatan dengan rakan yang lain selain dapat merasa seronok kerana dapat merasai dibawa dengan kandar serta disiram dengan hos bomba. Ini pengalaman dan kenangan dalam hidup saya," katanya.

SERAMAI 20 peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Anjuran Gabungan Tiga KRT Mukim Sungai Balang diarak dengan menggunakan buaian kandar buluh, dipikul dan dikendong oleh ahli keluarga masing-masing sebelum disiram menggunakan hos bomba dan dikhatankan di D'Impian Country Resort, Kampung Sungai Belukang, Mukim Sungai Balang, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
SERAMAI 20 peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Anjuran Gabungan Tiga KRT Mukim Sungai Balang diarak dengan menggunakan buaian kandar buluh, dipikul dan dikendong oleh ahli keluarga masing-masing sebelum disiram menggunakan hos bomba dan dikhatankan di D'Impian Country Resort, Kampung Sungai Belukang, Mukim Sungai Balang, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PESERTA termuda, Muhd Ammar Anuar, 4.
MUHAMMAD Haziq Suhaimi, 6.
Berita Harian X