Khamis, 14 Disember 2017 | 6:10pm
GAMBAR fail, Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar (tiga kiri) bersama penduduk sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berkumpul dan menunjukan poster bantahan di luar Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa -Kuasa Khas bagi mendengar permohonan bantahan projek pembangunan blok pangsapuri mampu milik 29 tingkat di Taman Rimba Kiara pada 12 Oktober lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Projek pembangunan di Taman Rimba Kiara boleh diteruskan

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan bercampur di Taman Rimba Kiara, Bukit Kiara boleh diteruskan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan pengurusan kondominium bersebelahan untuk menggantung perintah pembangunan di kawasan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas mahkamah mengambil kira perbelanjaan besar ditanggung pemaju, Memang Perkasa Sdn Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan selaku responden, dalam projek berkenaan.

Kamaludin berkata, ia akan menyebabkan prejudis kepada responden jika permohonan untuk menggantung projek pembangunan terbabit dibenarkan sementara menunggu prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah pembangunan dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian memerintahkan semua pemohon membayar kos sebanyak RM10,000 kepada setiap responden dan menetapkan pengurusan kes pada 16 Januari depan.

Pemohon dalam kes itu adalah pengurusan Trellises, pengurusan Kiara Green, pengurusan The Residence, pengurusan TTDI Plaza dan Badan Pengurusan Bersama The Greens.

Lima lagi pemohon ialah pegawai awam Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar dan empat penduduk TTDI, iaitu Koo Zhao Phin, Firdaus Nisha Muhammad Faizal, Loo Ly Mun dan Boo Su-Lyn.

Empat responden yang dinamakan dalam permohonan semakan kehakiman ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, YWP, Memang Perkasa Sdn Bhd dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.

Pemohon diwakili peguam, Balan Nair, manakala Datuk B Jayanthi mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada pemohon untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memberi kebenaran berhubung cadangan pembangunan di kawasan Taman Rimba Kiara.

Dalam afidavit difailkan bersama permohonan itu pada 11 Ogos 2017, pemohon berkata, pembangunan dicadangkan termasuk satu blok pangsapuri mampu milik 29 tingkat dan lapan blok pangsapuri servis serta menukar status tanah daripada kediaman kepada perdagangan bersebelahan Taman Rimba Kiara.

Mereka berkata, pada Jun 2016, responden mendirikan notis di taman rimba itu bagi memaklumkan kepada penduduk TTDI bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur sudah menerima permohonan sebuah syarikat untuk projek pembangunan berkenaan.

Sehubungan itu, pemohon dan penduduk TTDI melakukan protes dan bantahan terhadap cadangan pembangunan berkenaan.

Pemohon seterusnya berkata, pembangunan itu akan meningkatkan kepadatan TTDI dan menjejaskan status taman rimba yang menjadi habitat pelbagai spesies haiwan dilindungi termasuk burung enggang liar selain flora dan fauna.

Mereka mendakwa, keputusan Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak sah dan bertentangan Kaedah 5(8) Kaedah-Kaedah Perancangan, sekali gus menuntut satu perintah mahkamah untuk membatalkannya.

Berita Harian X