Sabtu, 16 Disember 2017 | 1:37pm

Teknik 'couching' mengundang buta

'COUCHING' ialah teknik menolak lensa mata ke bahagian 'cavity vitreous' yang didakwa mampu merawat penyakit katarak. - Foto Google

BALIK PULAU: Semua Jabatan Kesihatan negeri diarah memantau dan mengambil tindakan terhadap pengamal aktiviti 'couching' yang didakwa menjadi alternatif untuk merawat penyakit katarak.

'Couching' ialah teknik menolak lensa mata ke bahagian 'cavity vitreous' yang didakwa mampu merawat penyakit katarak dengan aktiviti itu dilapor viral di media sosial.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ia susulan amalan teknik terbabit sudah diharamkan sebelum ini, selain disahkan tidak mampu merawat penyakit katarak.

Katanya, teknik 'couching' itu dikatakan akan memberi impak lebih buruk kepada pesakit dalam jangka masa panjang, termasuk menyebabkan buta.

"Pesakit katarak juga dinasihat mendapatkan nasihat pakar perubatan dan menjalani pembedahan di hospital dengan keseluruhan prosesnya hanya mengambil masa hampir 30 minit sahaja.

"Teknik 'couching' ini tak diiktiraf, selain dikhuatiri akan menyebabkan keadaan mata pesakit bertambah buruk jika melakukannya. Ini kerana bahagian mata sangat kompleks dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad; ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussein Shah dan ADUN Bayan Lepas, Nordin Ahmad.

DR Hilmi (dua dari kanan) menyampaikan pakaian sekolah kepada penerima pada Majlis Sumbangan Pakaian Sekolah Parlimen Balik Pulau 2018 sempena program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Pengamal teknik terbabit yang dikatakan berpangkalan di Kuala Kurau, Perak dijadual membuat siri jelajah selama tiga hari ke Pulau Langkawi, Kedah pada 23 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi mengesahkan pihaknya belum menerima laporan berhubung sebarang jangkitan ke atas bayi yang didapati minum susu formula tiruan yang dijual di pasaran.

"Kita sudah mengambil beberapa sampel susu formula tiruan yang dijual di pasaran bagi mengenal pasti bendasing yang terdapat dalam bahan makanan bayi itu.

"Bagaimanapun, aktiviti pemantauan penjualan susu formula tiruan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), selain bersedia menjalin kerjasama bagi membanteras isu ini," katanya.

Berita Harian X