Isnin, 18 Disember 2017 | 9:38pm
SETIAUSAHA Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Bakhtiar Hussin (hadapan kanan) dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Halim Mohd Hussin (hadapan kiri) menukar dokumen sambil disaksikan pegawai MAIS dan AADK pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK di Hotel Aliya, Klang. - Foto Faiz Anuar

Pusat pemulihan untuk penagih HIV/AIDS

KLANG: Nasib penagih dadah yang juga pesakit HIV/AIDS di Selangor bakal dilindungi dengan pembukaan Pusat Pemulihan Rawatan Penagih Dadah di Serendah, Hulu Selangor, Januari depan.

Kerjasama antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu menyaksikan pengendalian program persefahaman pengurusan di pusat berkenaan.

Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin, berkata program itu diwujudkan sebagai inisiatif untuk memberi perlindungan dan bantuan kepada penagih atau pesakit HIV/AIDS di Selangor.

"Kerjasama MAIS dan AADK berkaitan pembangunan sosial masyarakat Islam menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) supaya sentiasa dalam kerahmatan Allah.

"Asnaf Riqab yang tersasar dari landasan Islam terutama yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah serta hidup dengan HIV/AIDS wajar diberi peluang mendekatkan diri dengan Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MAIS, yang diwakilinya dan AADK, yang diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Halim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar serta Pengarah Bahagian Rawalan Perubatan dan Pemulihan AADK, Azmi Mustafa.

Bakhtiar berkata, pusat itu menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan dan perlindungan bagi penagih dadah yang hidup dengan HIV/AIDS.

"Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK dibina di atas tanah milik MAIS dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.1 juta, menggunakan sumber Al-Riqab Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS memperuntukkan bajet pengoperasian tahun 2018 merangkumi bayaran emolumen pengurusan pentadbiran dan pengurusan operasi pusat berkenaan sebanyak RM1.8 juta," katanya.

Beliau berkata, pusat yang mampu menempatkan 40 penagih dadah yang hidup dengan HIV/AIDS pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, hanya penagih dan penghidap HIV/AIDS lelaki saja yang akan diterima buat masa ini.

"Pusat ini akan mula beroperasi Januari 2018 dan kami sudah bersedia dengan kakitangan yang akan ditempatkan di sana," katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata, MAIS adalah majlis agama Islam negeri pertama yang melaksanakan usaha sama dengan AADK bagi program seumpama itu.

"AADK menghargai usaha sama dengan MAIS selaku rakan strategik dalam membantu penagih tegar, bukan sahaja anak jati Selangor tetapi yang tinggal di Selangor.

"Kami berharap majlis agama Islam lain akan mengikut jejak langkah MAIS dalam usaha ini," katanya.

Berita Harian X