Rabu, 20 Disember 2017 | 6:50pm
PENGERUSI Persatuan Penduduk TTDI (TTDIRA), Abdul Hafiz Abu Bakar. - Foto Mohd Yusni Ariffin
LAPORAN BH pada Jumaat lalu.

Isu Taman Rimba Kiara tiada unsur politik

KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menegaskan, bantahan terhadap rancangan pembangunan mega di sebahagian tapak Taman Rimba Kiara (TRK), tiada unsur politik, mahu pun usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI (TTDIRA), Abdul Hafiz Abu Bakar, berkata bantahan penduduk TTDI adalah demi memelihara kawasan hijau itu dan tidak didorong oleh fahaman mana-mana parti politik.

"Sudah berkali-kali kami menegaskan usaha penduduk adalah untuk memastikan kawasan hijau di sini dipelihara dan kami lakukannya atas dasar kepentingan komuniti setempat.

"Kami hanya sebuah persatuan penduduk dan tidak didorong atau mempunyai muslihat politik.

"Jika pembangunan ini tetap diteruskan, kami khuatir ia akan menjejaskan fungsinya sebagai kawasan hijau di kawasan bandar," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Halaman Kota BH pernah menyiarkan rentetan projek kontroversi di taman awam berkenan, yang mendapat bantahan daripada penduduk TTDI.

Penduduk mendakwa projek berkenaan akan mengambil separuh dari tapak taman awam itu dan memusnahkan kawasan paling padat dengan pokok yang menjadi habitat kepada hampir 40 jenis burung tempatan dan migrasi.

Malah, komuniti rumah panjang yang menetap bersebelahan TRK, turut mendesak supaya mereka tidak dijadikan 'kambing hitam' dalam rancangan pembinaan projek itu, selain menuntut supaya rumah mereka dibina di atas tapak asal tanpa memusnahkan taman awam berkenaan.

Taman awam seluas hampir 11 hektar itu menjadi kawasan utama bagi penduduk sekitar untuk beriadah dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Abdul Hafiz berkata, dalam program Bicara Rakyat 2017 bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, awal November lalu, cadangan alternatif pembinaan rumah bagi penghuni rumah panjang yang mampu menyelesaikan kemelut itu turut dibentangkan.

"Kami percaya, kerajaan boleh membina rumah baharu untuk penghuni rumah panjang tanpa perlu melaksanakan projek mega seperti itu.

"Dalam program itu, kami membentangkan pelan pembinaan rumah jenis 'townhouse', yang memberi impak kecil pada persekitaran, selain hanya memerlukan anggaran kos pembinaan lebih murah iaitu kira-kira RM15 juta sahaja." katanya.

Katanya, pada program itu, Tengku Adnan turut menawarkan sesi pertemuan di pejabatnya untuk berbincang, namun sehingga kini, tiada pertemuan diadakan bersama wakil penduduk.

Pada 15 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penduduk TTDI dan pengurusan kondominium bersebelahan untuk menggantung perintah pembangunan di kawasan itu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mengambil kira perbelanjaan besar ditanggung pemaju, Memang Perkasa Sdn Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selaku responden, dalam projek berkenaan.

Berita Harian X