Rabu, 20 Disember 2017 | 7:26pm
HAKISAN tebing yang teruk di Kampung Pasir Parit, Chetok, Kota Bharu. - Foto Fathil Asri

Pasukan khas atasi hakisan tanah

KOTA BHARU: Hakisan tebing yang teruk di Kampung Pasir Parit, Chetok, di sini, mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengatasinya.

Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai hakisan luar biasa yang berlaku di tebing Sungai Kelantan, dua hari lalu.

"Kita sudah mengambil langkah membaik pulih dengan mengaktifkan satu jawatankuasa sejak semalam untuk memulihkan tanah yang terhakis akibat air sungai yang deras.

"Usaha membaik pulih itu membabitkan kerja menutup aliran sungai yang menerjah tebing, yang akan dibuat oleh KADA dengan meletakkan batu bagi menghalang air sungai daripada terus memasuki saluran tebing.

"Selepas itu, kerja mengukuhkan tebing terbabit akan diteruskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri supaya ia kembali kukuh serta tidak mengancam penduduk setempat," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di tebing sungai terbabit, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha.

Md Alwi berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta bagi menjalankan kerja baik pulih itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Ko Po Han, 51, berkata tanah di hadapan rumahnya seluas 0.4 hektar turut terhakis dalam kejadian itu.

"Hari ini, saya terkejut apabila melihat hakisan semakin dekat dengan rumah dan hanya tinggal beberapa meter saja lagi.

"Saya berharap pihak berkuasa menyegerakan kerja baik pulih bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya.

Berita Harian X