Khamis, 21 Disember 2017 | 3:41pm
TENGKU Abdullah menyerahkan sumbangan zakat kepada Mohd Nasir pada Majlis Sumbangan Zakat di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. - Foto Zulkepli Osman

MUIP agih RM1.06 juta untuk IJN, mangsa banjir

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) hari ini menyumbang RM1.06 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan mangsa banjir di Kedah serta Pulau Pinang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada IJN serta masing-masing RM30,000 kepada mangsa banjir di dua negara terbabit.

Mewakili IJN ialah Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Asyraf. Sumbangan itu bagi menampung kos rawatan pesakit Islam kurang berkemampuan dari Pahang yang mendapat rawatan di IJN.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Kedah, Sheikh Zakaria Othman dan wakil Zakat Pulau Pinang, Hambali Mohd Fuad, menenerima sumbangan bagi negeri masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Pada majlis sama, Tengku Abdullah turut menerima zakat perniagaan kira-kira RM1.67 juta daripada empat syarikat, iaitu Far East Holdings Berhad; Bank Pembangunan Malaysia Berhad; CIMB Islamic Bank Berhad dan GITN Sdn Bhd.

Tengku Abdullah turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dengan MUIP serta lima agensi.

Agensi berkenaan ialah Pusat Kutipan Zakat Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Pertubuhan Peguam Syarie Pahang, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Pahang dan Etiqa Takaful Berhad.

MoU itu bertujuan memartabatkan Pendidikan Islam di negeri ini.

Sementara itu, sehingga 18 Disember lalu, Pusat Kutipan Zakat Pahang berjaya mengutip zakat RM111 juta membabitkan 79,721 individu.

Sebanyak RM120 juta zakat disasarkan dikutip pada tahun ini, membabitkan 83,000 pembayar.

122 dibaca
Berita Harian X