Khamis, 28 Disember 2017 | 8:28pm
JAMBATAN sepanjang 150 meter menghubungkan antara Kampung Pangkalan Feri Pasir Kelang dengan Kampung Pasir Era akan dibina.

Jambatan merentasi Sungai Kelantan akan dibina

JELI: Hasrat lebih 2,000 penduduk enam kampung di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Wilayah Kuala Krai supaya sebuah jambatan dibina bagi menyeberangi Sungai Kelantan mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi KESEDAR, Datuk Aziz Derahsid, berkata Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM55 juta bagi membina jambatan yang menghubungkan di antara Kampung Pangkalan Feri Pasir Kelang dengan Kampung Pasir Era.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu sekali gus bakal mengakhiri penantian penduduk bagi mendapatkan kemudahan berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu.

"Kampung yang akan mendapat manfaat hasil pembinaan jambatan itu, termasuk Kampung Pasir Kelang, Taku, Buyong, Sungai Taku, Taku Estet dan Pasir Kelang Baru.

"Sejak sekian lama penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan feri kecil dan bot gentian kaca bagi menyeberangi sungai berkenaan ke pekan berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi perjumpaan bersama pemimpin masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah, di sini, hari ini.

Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, berkata KESEDAR turut bercadang membina laluan baharu di kawasan itu yang menelan belanja kira-kira RM200 juta apabila siap pembinaan jambatan berkenaan.

"Bagaimanapun projek pembinaan jambatan akan dimulakan awal dan apabila siap disusuli pula pembinaan laluan baru itu," katanya.

Berita Harian X