Khamis, 28 Disember 2017 | 10:48pm

Putrajaya bermandi cahaya

PUTRAJAYA: Bermula malam ini hingga ambang Tahun Baharu 2018, Putrajaya akan bermandi cahaya lampu berwarna-warni sempena Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2017.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, festival dengan tema Ekspresi Negaraku, Ekspresi Malaysia dan Alam Semula Jadi, anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu menyasarkan sejuta pengunjung sepanjang empat hari acara berlangsung.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail, berkata festival berkenaan bertujuan mempromosi dan menonjolkan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia, yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik dalam perancangan serta pembangunan bandarnya.

"LAMPU 2017 yang bermula dari jam 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam membawa kelainan dengan menampilkan penggunaan teknik, teknologi visual dan audio terkini serta pencahayaan beresolusi tinggi dalam Pemetaan Bercahaya 3D di bangunan Istana Kehakiman.

"Antara tarikan baharu yang diperkenalkan adalah The Kindle Garden di Laman Kiblat Walk, yang bertemakan taman fantasi iaitu gabungan dua dimensi, Nusantara dan alam maya," katanya kepada media selepas melancarkan LAMPU 2017 di Dataran Putrajaya, di sini, malam ini.

Katanya, segmen The Levitating Street & The 3D Street Art, memaparkan hiasan lampu gantung bertema dan lukisan 3D di atas lantai, manakala The Vibrant Street dengan reka bentuk struktur cahaya unik dan kesan bayang-bayang.

Selain The Lighting Effect dengan biasan pelbagai rona lampu bangunan di sepanjang Persiaran Perdana, Presint 3 dan sebahagian Presint 2.

"Kita juga turut menyediakan tarikan seperti persembahan wayang kulit dan beca berhias, serta pelbagai aktiviti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengambil bahagian.

"Bagi kemudahan pengunjung, PPj turut menyediakan ruangan Food Zone, The Glorious Food Truck dan The Vendor serta perkhidmatan bas pengantara secara percuma sepanjang festival berlangsung," katanya.

Hasim berkata, pada malam Ambang Tahun Baharu 2018, Ahad ini, pengunjung juga akan dipersembahkan dengan pertunjukan bunga api secara langsung dan pertunjukan api digital.

MAJLIS perasmian Festival Lampu 2017 di Dataran Putrajaya, Presint 3. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MAJLIS perasmian Festival Lampu 2017 di Dataran Putrajaya, Presint 3. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X