Rabu, 20 Disember 2017 | 6:13pm
PENDUDUK di pekan kecil Belaga terputus hubungan dengan Bintulu selepas laluan darat ke kawasan terbabit ditenggelami banjir. - Foto Nor Shayaumil Qhairil Eemann

Belaga banjir

BELAGA: Lebih 30,000 penduduk di pekan kecil ini terputus hubungan dengan Bintulu, selepas satu-satunya laluan darat ke kawasan terbabit ditenggelami banjir, akibat hujan lebat sejak 48 jam lalu.

Penolong Pegawai Tadbir Daerah Belaga, Shukori Alwi, berkata laluan berkenaan yang dibina di bawah Program Jiwa Murni ditutup untuk semua kenderaan berikutan limpahan air sungai.

Jalan Bukit Gayong turut ditutup kerana berlakunya kejadian tanah runtuh.

"Ketika ini, belum ada pusat pemindahan dibuka kerana masih belum menerima laporan daripada penduduk kampung. Semua agensi berkaitan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana paras air sungai didapati terus meningkat.

"Bilik operasi juga dibuka di Pejabat Daerah Belaga dan pihak berwajib sedang memantau perkembangan banjir ini dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi BH.

Shukori berkata, kawasan yang terjejas teruk ialah hilir Bakun yang menempatkan 15 kampung (rumah panjang), antaranya Rumah Panjang Kahei, Lahanan, Kejaman dan Kampung Melayu.

"Kejadian banjir ini boleh dikatakan yang terbesar sejak 20 tahun lalu selepas pembinaan Empangan Bakun.

"Kami berharap agar penduduk kampung sentiasa berwaspada dan patuh kepada pihak keselamatan untuk berpindah sekiranya diarahkan, dan pusat pemindahan akan dibuka di Sekolah Kebangsaan Ambun Matu," katanya.

Shukori berkata, penduduk juga masih boleh menggunakan jalan sungai untuk ke Kapit atau Sibu dengan menaiki bot ekspres, namun diingatkan sentiasa berwaspada kerana arus sungai terlalu deras.

Berita Harian X