Isnin, 1 Januari 2018 | 11:01pm
PEMANDANGAN tapak pembinaan yang dinaiki air ketika banjir di sekitar Mersing hari ini. - Foto BERNAMA
KELIHATAN kenderaan yang terperangkap dalam banjir di sekitar Mersing hari ini. - Foto BERNAMA
KEADAAN banjir di sekitar jalan Mersing ke Jemaluang dinaiki air selepas hujan lebat dan ditutup kepada kenderaan ringan. - Foto sosial media

Terkini: Mangsa banjir di Mersing bertambah

JOHOR BAHRU: Seramai 203 mangsa daripada 56 keluarga di daerah Mersing dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata angka itu meningkat berbanding jumlah yang dikemaskini sebelum ini iaitu seramai 173 mangsa daripada 46 keluarga.

Katanya, secara keseluruhan, seramai 264 orang daripada 73 keluarga di daerah Kota Tinggi, Mersing dan Segamat dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara.

"Banjir di Mersing membabitkan kawasan Air Papan dan beberapa kampung, termasuk Kampung Tanjung Genting dan Semanyir, Endau, Air Tawar serta Taman Nakhoda.

"Laporan semua 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memaklumkan semua sekolah dapat beroperasi dengan baik pada hari pertama persekolahan hari ini kecuali Sekolah Kebangsaan Punan, Endau, yang tidak dapat beroperasi kerana banjir di laluan ke sekolah.

"Bagaimanapun, usaha dan ikhtiar dijalankan bersama agensi lain bagi membolehkan 11 guru untuk ke sekolah mulai esok.

"Semua pegawai Jabatan Pendidikan dan PPD terbabit dalam pemantauan di semua sekolah serta memastikan semua urusan persekolahan termasuk sokongan dapat diberi kepada semua Pengetua dan Guru Besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh Penghulu Mukim Pulau bahawa tingkat bawah Sekolah Kebangsaan Pulau Aur, Mersing, yang menempatkan kantin dinaiki air disebabkan hujan dan air pasang besar.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka," katanya.

1904 dibaca
Berita Harian X