Rabu, 3 Januari 2018 | 3:29pm
NURAZWANIDA menunjukkan tiub Air Cleaner yang dipasang pada motosikalnya. - Foto Syaherah Mustafa
TIUB Air Cleaner yang dipasang lebih tinggi bagi membolehkan motosikal terbabit dibawa untuk mengharungi air. - Foto Syaherah Mustafa

Ubah suai motosikal harung banjir

RANTAU PANJANG: Hasil kreativiti dan semangat tidak putus asa untuk mengubah suai motosikal bagi kegunaan ketika banjir, berhasil apabila Honda C70 milik sepasang suami isteri mampu meredah air sedalam 0.4 meter.

Motosikal terbabit diubah suai Mohd Sukhairul Ghazali, 23, selepas banjir sering melanda kawasan tempat tinggalnya di Kampung Lanchang.

Isterinya, Nurazwanida Purnomo, 21, berkata motosikal itu digunakan untuk meredah banjir bagi menghantar adiknya, Rayyan, 7, dan Siti Norisha, 6, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, di sini.

Katanya, Mohd Sukhairul mengubahsuai motosikal dibelinya pada tahun lalu dan mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkannya.

"Motosikal ini diubahsuai dengan satu tiub 'penapis udara' yang dipasang lebih tinggi pada bahagian depan motosikal bagi mengelak dimasuki air, sekali gus membolehkan saya menunggangnya mengharungi banjir.

"Dengan adanya motosikal ini, ia memudahkan aktiviti harian saya menghantar adik ke sekolah dan pergi ke kedai berhampiran memandangkan kawasan kami ini rendah yang sering dinaiki air.

"Suami saya bukan mekanik atau pakar dalam bidang ini tetapi dia berusaha sehingga berjaya menghasilkan motosikal ini. Ramai penduduk kampung yang kagum dengan hasilnya, malah tidak kurang yang datang untuk belajar," katanya ketika ditemui di kampungnya di Lanchang, di sini, hari ini.

Nurazwanida berkata, sebelum ini, dia terpaksa berjalan kaki mengharung banjir bersama dua adiknya bagi membolehkan mereka ke sekolah.

"Sekarang, adik tidak perlu lagi bangun terlalu awal untuk berjalan kaki ke sekolah sejauh lima kilometer dengan meredah banjir.

"Memandangkan banjir di kampung saya sudah menjadi kebiasaan, kami perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sesuatu yang berguna untuk ketika musim tengkujuh seperti terhasilnya motosikal ini," katanya.

/caption1. Nurazwanida Purnomo menunjukkan tiub Air Cleaner yang dipasang pada motosikalnya 2. Tiub Air Cleaner yang dipasang lebih tinggi bagi membolehkan motosikal terbabit dibawa untuk mengharungi air.

Berita Harian X