Rabu, 3 Januari 2018 | 7:23pm
ABDUL Razak (dua dari kiri) mengagihkan makanan dan minuman kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Damai, di Kuantan. - Foto Shahrul Nizam Mohamad

McDonald's Malaysia agih burger, minuman untuk mangsa banjir

KUANTAN: McDonald's Malaysia mengagihkan 200 burger bersama 200 bubur percuma kepada petugas dan mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara, di sini hari ini.

Pengurus Besar Restoran McDonald's Riverfront di sini, Abdul Razak Kamaruddin, berkata mereka turut mengagihkan 400 cawan air oren kepada mangsa dan petugas.

Katanya, makanan dan minuman itu diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau.

"Ini sumbangan kita kepada komuniti, tidak tertumpu kepada mangsa banjir saja, malah petugas seperti anggota RELA dan polis juga turut menerima sumbangan berkenaan," katanya ketika ditemui.

Abdul Razak berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga bagi mengurangkan tekanan dan beban mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

"Insya-Allah, esok kita akan menyampaikan lagi bantuan sama, namun lokasi belum dapat ditentukan lagi," katanya.

Berita Harian X