Khamis, 4 Januari 2018 | 3:41pm
RAKAYAH Maadon berbincang sesuatu dengan kakitangan sekolah dan PIBG perkembangan projek pembinaan sekolah baharu itu bagi menggantikan sekolah lama di Pulau Seduku, Lingga. - Foto Joshua Eric

JPN pantau keselamatan SK Pulau Seduku

SRI AMAN: Jabatan Pendidikan Negeri komited dalam memastikan keselamatan guru dan murid di premis baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku, di sini berada dalam keadaan terbaik.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Maadon, berkata pihaknya memantau rapi perkembangan projek pembinaan sekolah baharu itu bagi menggantikan sekolah lama di Pulau Seduku, Lingga dapat menawarkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selamat serta selesa.

"SK Pulau Seduku yang baharu sudah memulakan sesi persekolahannya semalam, namun kita memantau rapi aspek keselamatan guru dan murid kerana masih ada kerja-kerja pembinaan yang perlu diselesaikan.

"Kita akan memastikan sekolah baharu ini siap sepenuhnya, sekali gus dapat beroperasi secara optimum, khusus dalam memberikan kemudahan pendidikan kepada anak-anak penduduk setempat," katanya selepas meninjau sekolah itu.

Beliau turut diiringi Guru Besar SK Pulau Seduku, Mohd Sepian Abang Daud dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seduku, Datuk Wan Abdillah Edruce dalam sesi lawatan berkenaan.

Rakayah ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya akan sekali lagi mengadakan lawatan kerja ke sekolah baharu berkenaan, 9 Januari ini, khusus bagi melakukan penilaian terhadap tahap keselamatan dan kesihatan di premis berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, JPN sedang berusaha menambahbaik kemudahan sedia ada di premis baharu itu, termasuk pembinaan lapan unit kuarters guru melalui Pelan Pelaksanaan Ke-3 Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

"Kita memuji insiaitif diambil PIBG SK Pulau Seduku yang menyediakan tangki simpanan air bagi menampung keperluan di sekolah baharu ini, selain membantu mengangkut kelengkapan dan peralatan di sekolah lama untuk di bawa ke sini.

"Malah, set generator dari sekolah lama juga akan dibawa ke sini, selain merancang pembinaan sebuah pondok pengawal bagi menjaga keselamatan persekitaran dan aset sekolah," katanya.

Isu SK Pulau Seduku yang menelan kos RM8.2 juta ini berlarutan sejak dua tahun lalu, malah turut menarik perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu tahu punca sebenar kelewatan projek dan menyiasat jika berlaku penyelewengan atau pecah amanah.

Pada 2015, Kementerian Pendidikan meluluskan pembinaan sekolah baharu berharga RM8.2 juta bagi menampung keperluan guru dan murid SK Pulau Seduku menggunakan kaedah sistem pembinaan bersepadu (IBS) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Guru dan murid berkenaan satu-satunya komuniti di Pulau Seduku yang terletak di tengah-tengah Sungai Batang Lupar, selepas keseluruhan penduduk kampung dipindahkan ke penempatan baharu berhampiran Pekan Lingga apabila kawasan terbabit diwartakan sebagai santuari buaya pada 2012.

Sementara itu, Wan Abdillah menjelaskan pihaknya memutuskan agar semua 12 dan 25 murid SK Pulau Seduku dipindahkan terus ke sekolah baharu di Pekan Lingga walaupun belum siap sepenuhnya kerana tidak mahu mengambil risiko musim cuaca monsun ketika ini, termasuk keadaan arus Sungai Batang Lupar yang agak deras.

"Walaupun persekitaran SK Pulau Seduku, Lingga baharu masih belum kondusif, ia dilihat lebih baik daripada menghantar anak-anak ke sekolah asal di Pulau Seduku dan hanya boleh dihubungi menerusi sistem pengangkutan air.

"Sekolah baharu boleh dihubungi dengan jalan darat. Namun pihak ibu bapa dan guru sekolah ini terpaksa bergotong-royong terlebih dahulu semalam sebelum anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan pertama semalam," katanya.

Katanya, sekolah baharu itu seolah-olah 'kosong' kerana masih belum dibekalkan air bersih dan bekalan elektrik, begitu juga kemudahan berkaitan lain disebabkan sikap culas kontraktor utama yang dilantik.

"Namun, ibu bapa tidak pilihan kerana enggan membenarkan anak-anak mereka bersekolah di pulau atas faktor keselamatan. Sikap sambil lewa kontraktor projek ini amat dikesali," katanya.

Berita Harian X