Selasa, 9 Januari 2018 | 6:26pm
DATUK Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man ketika sidang media menjelaskan mengenai isu perubahan kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Ipoh. - Foto Farah Suhaidah Othman

MBI tidak pernah naikkan cukai taksiran

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menaikkan kadar cukai taksiran sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata pihaknya tidak pernah menaikkan cukai sejak tahun 1982, sebaliknya kaedah pencukaian dibuat berdasarkan formula pengiraan terhadap keluasan bangunan dan cukai taksiran ditetapkan.

Katanya, MBI membuat penilaian di setiap kawasan secara berperingkat sejak dua tahun lalu dan mendapati ada sesetengah premis mengalami perubahan pada keluasan bangunannya.

"Saya tegaskan berulang kali, kita tidak pernah menaikkan cukai sejak tahun 1982, (sebaliknya) kaedah pencukaian dibuat berdasarkan kepada pengiraan luas bangunan didarabkan dengan kadar cukai.

"Yang berlaku perubahan cukai disebabkan oleh perubahan luas bangunan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zamri berkata, secara keseluruhannya, pegangan di bawah kawasan MBI adalah sebanyak 285,000 unit premis dan penilaian yang dibuat setakat ini adalah sebanyak 125,000.

Beliau berkata, hasil penilaian dijalankan itu, terdapat pegangan yang mengalami pindaan nilai kadar cukai tahunan sama ada berubah, menurun atau masih kekal.

"Sesetengah warga Ipoh gusar apabila kita membuat penilaian bagi menentukan kadar cukai yang baharu.

"Sebenarnya penilaian dibuat sejak tahun 2015 di beberapa kawasan dan bagi tahun ini dan kita sudah keluarkan notis kepada mereka untuk mengimbangi semula terhadap penilaian berkenaan.

"Kita bagi notis sehingga 14 Januari ini untuk rakyat mengisi borang bagi menyatakan maklum balas berkenaan cukai terbabit dan kita anggap mereka yang tidak mengisi borang, mereka akur dengan kadar cukai dikenakan," katanya.

Zamri berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 68 surat bantahan daripada pemilik premis yang menerima notis berhubung kadar cukai bagi tahun ini.

407 dibaca
Berita Harian X