Khamis, 11 Januari 2018 | 10:51pm
PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff. - Foto Farizul Hafiz Awang

Banjir kilat di Pulau Tioman

KUANTAN: Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan banjir kilat di Kampung Tekek, Pulau Tioman, petang tadi.

Seramai 64 orang mangsa banjir daripada 14 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tekek.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.

"Ini menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 318 mangsa daripada 81 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di Rompin dan Pekan, berbanding 254 orang daripada 67 keluarga petang tadi," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 10 malam tadi, seramai 254 orang daripada 67 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pekan.

Lima PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 93 orang, Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang), Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (9 orang) dan Pusat Pemindahan Kampung Lamir (38 orang).

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 10 malam, hanya Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan melepasi tahap amaran atau jingga dengan bacaan 9.95 meter (10.30 meter paras bahaya).

767 dibaca
Berita Harian X