Jumaat, 12 Januari 2018 | 6:06pm
JEMAAH masjid meredah air bah yang memasuki perkarangan Masjid Al Ehsan Kampung Pulau Rusa, Pekan, selepas mereka menunaikan solat Jumaat hari ini.- Foto BERNAMA
MOHD Zikri Firdaus Zulkarnain,7, (kiri) bersama adiknya Mohd Dzikri Hamsyar,4, melihat keadaan perkarangan rumah nenek mereka yang ditenggelami air di Kampung Pulau Manis hari ini.- Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Pahang terus bertambah

KUANTAN: Hujan lebat sejak awal pagi semalam mengakibatkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah kepada 738 orang daripada 188 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang tadi.

Jumlah berkenaan meningkatkan berbanding seramai 697 orang daripada 177 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS, pada jam 2 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata jumlah mangsa di daerah Pekan terus meningkat kepada 613 orang daripada 154 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Beliau berkata, semua mangsa di Pekan ditempatkan di lapan PPS iaitu 249 mangsa daripada 61 keluarga di PPS Sekolah Sinar Mutiara, Sungai Miang; Sekolah Kebangsaan (SK) Temai (93 orang, 24 keluarga); 89 orang daripada 23 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang 22 keluarga).

"PPS lain ialah Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga); Pusat Pemindahan Kampung Lamir (38 orang, lima keluarga); Sekolah Kebangsaan (SK) Acheh (9 orang, dua keluarga) dan SK Seri Terentang (11 orang dan tiga orang)," katanya di sini, hari ini.

Bagi daerah Rompin pula, Zainal berkata, seramai 125 mangsa daripada 34 keluarga masih ditempatkan di dua PSS sejak semalam.

"Dua PPS berkenaan adalah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek yang menempatkan seramai 63 orang dan Dewan Orang Ramai Leban Chondong (62 orang)," katanya.

Selain itu, beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak tiga jalan di negeri ini ditutup untuk kenderaan ringan selepas dinaiki air banjir hari ini.

"Tiga jalan berkenaan adalah Jalan Serengkam - Bak Bak di Kampung Orang Asli Merbau dan Simpang Belimbing, Maran; Jalan Lubuk Batu dekat Jambatan Kayu Kampung Lubuk Batu, Rompin dan Jalan Tekek-Lalang di Tioman," katanya.

845 dibaca
Berita Harian X