Sabtu, 13 Januari 2018 | 3:03pm
GHAZALI Taib bersama Tengku Ahmad Nazri memberi ikan makan ketika melawat kolam ikan pada Program Jom Bantu Rakyat Majlis Penuaian Ikan di Tapak Projek Fertigasi Kampung Pela, Ajil. - Foto Rozainah Zakaria

Projek fertigasi ikan tingkat pendapatan penduduk

KUALA BERANG: Projek Fertigasi Ternakan Ikan Tilapia dan Patin di Kampung Pela, di sini, yang bermula lima bulan lalu sudah mula berhasil apabila hampir enam tan ikan dapat dituai mulai bulan ini.

Projek di bawah peruntukan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) membabitkan 10 sangkar ikan itu dapat meningkatkan pendapatan peserta sebanyak RM600 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata secara keseluruhan projek terbabit mampu menjana jumlah pendapatan sebanyak RM60,000 membabitkan 10 peserta.

Katanya, berdasarkan hasil yang sedia ada ini, peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM6,000 dalam masa 12 bulan untuk setiap pusingan tuaian.

"Peserta juga turut menjalankan projek pertanian iaitu tanaman timun dan lada di kawasan seluas 17 hektar ini. 


GHAZALI Taib (kiri) bersama Tengku Ahmad Nazri menunjukkan ikan talapia yang ditangkap pada Program Jom Bantu Rakyat Majlis Penuaian Ikan di Tapak Projek Fertigasi Kampung Pela, Ajil. - Foto Rozainah Zakaria

"Justeru, dengan adanya penambahan projek ternakan ini mereka dijangka memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.

"Berdasarkan kejayaan ini, saya menasihatkan supaya peserta sedia ada untuk menjalankan perusahaan ini secara berdisiplin supaya banyak lagi bantuan susulan dapat disalurkan.

"Malah, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk memperbesarkan lagi projek ini kerana masih mempunyai banyak tanah rizab di kawasan ini," katanya pada Majlis Menuai Hasil Projek Fertigasi Ternakan Ikan Tilapia dan Patin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar KETENGAH (Pembangunan), Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata pihaknya bercadang untuk menambah 10 lagi kolam di kawasan itu supaya dapat menambah penyertaan peserta bagi meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

"Projek ini dimulakan di tiga lokasi iaitu di Kampung Pela, Pasir Raja, Dungun dan Kuala Jengai, Dungun, pada Ogos tahun lalu, namun hasil yang diperoleh hari ini amat memberangsangkan.

"Justeru, KETENGAH bercadang untuk menambah 10 lagi kolam dengan anggaran kos RM30,000 atau lebih bagi meningkatkan lagi pendapatan penduduk selain menambah jumlah peserta," katanya.

150 dibaca
Berita Harian X