Sabtu, 13 Januari 2018 | 3:11pm

Jarakkan kehamilan

PUTATAN: Penduduk negeri ini khususnya golongan wanita diminta menambah pengetahuan berkaitan perancangan keluarga.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata kesedaran mengenai perancangan keluarga dalam kalangan wanita lingkungan usia reproduktif penting, berikutan golongan berkenaan tunjang utama keluarga.

"Walaupun usia 15 sehingga 49 tahun jangka masa kesuburan bagi seseorang wanita, namun penting untuk mereka yang sudah berkahwin menitikberatkan perihal perancangan keluarga dengan menjarakkan kehamilan.

"Menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun mampu memberi peluang kepada tubuh seseorang wanita berkenaan pulih sepenuhnya.

"Ini perlu disebabkan seseorang wanita berkemungkinan mengalami beberapa faktor risiko yang boleh mengancam nyawa ibu serta janin dalam kandungan," katanya ketika melancarkan Karnival dan Projek Pendidikan Kesihatan di Kampung Tebongon, di sini, hari ini.


YAHYA (tiga dari kanan) melancarkan Karnival dan Projek Pendidikan Kesihatan di Kampung Tebongon, di Putatan, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Program itu yang dihadiri kira-kira 300 pengunjung terdiri daripada penduduk kampung dan orang awam adalah anjuran kali pertama oleh Pelatih Jururawat Kesihatan Awam, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Kampung Tebongan.

Antara pengisian karnival termasuk pemeriksaan kesihatan, pameran agensi kerajaan, kuiz kesihatan dan cabutan tiket bertuah.

Sementara itu, Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, meminta penduduk di daerah ini supaya sentiasa memberikan sokongan kepada semua program kesihatan dianjurkan pihak yang berkenaan.

"Saya berharap kita dapat memanfaatkan program seperti ini sebaik mungkin dan sentiasa berfikiran terbuka untuk meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan diri," katanya.

365 dibaca
Berita Harian X