Sabtu, 13 Januari 2018 | 3:33pm
KEADAAN pokok sawit yang dirosakkan sindiket selepas melarikan tandan sawit masak di Suai, Bintulu.
KEADAAN pokok sawit yang dirosakkan sindiket selepas melarikan tandan sawit masak di Suai, Bintulu.
KEADAAN pokok sawit yang dirosakkan sindiket selepas melarikan tandan sawit masak di Suai, Bintulu.

Rugi RM1,000 sehari, sawit dicuri

BINTULU: RM1,000 sehari! Itu jumlah purata kerugian dialami pekebun kecil di Suai, di sini berikutan berleluasanya kegiatan mencuri tandan sawit dipercayai didalangi sindiket tertentu.

Berdasarkan modus operandi, sindiket melakukan kegiatan itu pada lewat malam dan awal pagi, terutama ketika hujan lebat bagi mengelak pergerakan mereka dikesan pemilik kebun.

Sasaran kegiatan itu tertumpu di kawasan terpencil, yang dipercayai turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) bagi memudahkan pergerakan terutama di laluan sukar.

Mangsa, Douglas Ising Kallang, 51, berkata kegiatan itu dikesan berlaku sejak setahun lalu sehingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil di kawasan terbabit.

Katanya, walaupun sudah beberapa laporan polis dibuat, kegiatan itu terus berleluasa sehingga menyebabkan pekebun kecil terpaksa menanggung kerugian besar.

"Kes terbaharu saya alami kira-kira jam 8 pagi tadi. Bila tiba saja di kebun, saya mendapati pokok sawit saya rosak dengan kebanyakan tandan sawit yang sudah masak dilarikan pencuri.

"Mungkin 500 kilogram tandan sawit saya hilang pagi ini dilarikan pencuri. Ini satu kerugian besar.... bagaimana saya mahu cari makan," katanya ketika ditemui di kebun sawitnya, di sini pagi tadi.

Ising berkata, kegiatan itu berlarutan sejak setahun lalu membabitkan kebun sawit milik penduduk kampung di Lembong, Simpang Jawa dan beberapa rumah panjang berhampiran.

Beliau juga percaya kejadian curi itu berlaku ketika hujan lebat awal pagi tadi, selain terdapat kesan tayar kenderaan 4WD di laluan masuk ke kebun sawitnya.

Rakannya, Ivan Ekin, 55, kesal kerana tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berwajib bagi mengekang kegiatan itu.

"Laporan polis sudah dibuat berhubung kecurian ini, namun kejadian sama masih berlaku hingga merunsingkan pekebun kecil seperti kami. Sampai bila kami perlu tanggung kerugian besar setiap hari," katanya.

Di Bintulu dan kawasan sekitarnya, harga pasaran semasa kelapa sawit mencecah antara RM470 hingga RM550 per tan.

510 dibaca
Berita Harian X