Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:50pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (tiga dari kiri) bersama Pengarah Kumpulan Capital World Limited, Siow Chien Fu (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Perasmian MCM Studio di Bangunan Capital City, Johor Bahru, hari ini. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong bersama Pengarah Kumpulan Capital World Limited, Siow Chien Fu melawat MCM Studio di Bangunan Capital City, Johor Bahru, hari ini. - Foto Nurul Amanina Suhaini

MCM Studio akan dibuka di Johor

JOHOR BAHRU: Taman tema tertutup, MCM Studio yang pertama di Asia Tenggara dengan nilai pelaburan berjumlah RM260 juta akan dibuka kepada umum pada suku ketiga tahun ini.

Taman tema seluas 48,774.1 meter persegi itu bakal menawarkan keseronokan secara interaktif bukan saja untuk kanak-kanak, malah untuk seluruh keluarga.

Pengarah Kumpulan Capital World Limited, Siow Chien Fu, berkata taman tema yang terletak di Bandar Baru Uda, di sini, menjadi antara kelima terbesar di dunia menetapkan sasaran lebih satu juta pengunjung pada tahun pertama operasinya.

"Projek Capital City adalah satu pembangunan yang luar biasa di Johor Bahru yang meliputi pusat beli-belah Capital 21, dua hotel penginapan dan pangsapuri.

"MCM Studio yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu Movie Planet (filem), Cartoon Planet (kartun) dan Music Planet (muzik) menjadi keunikan utama di setiap tiga tingkat bangunan itu, sekali gus akan memberi pengalaman berbeza dan keseronokan kepada mereka yang mengunjungnya.

"Setiap 'planet' membawa konsep tersendiri diyakini mampu menambah kedatangan pelancong ke Johor khususnya, sebelum langkah mempromosikan taman tema itu pada peringkat global diperluaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian MCM Studio yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong di Bangunan Capital City, di sini, hari ini.

Chien Fu berkata, MCM Studio juga dijangka dapat membantu perkembangan ekonomi negeri apabila memperuntukkan kira-kira 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini, selain turut membuka 300 ruang perniagaan.

Katanya, MCM Studio akan memperkenalkan slot permainan kanak-kanak dan pengunjung dengan menampilkan teknologi terkini termasuk luasan realiti (augmented reality) dan maya realiti (virtual reality), selain keistimewaan persembahan secara langsung artis jemputan dalam dan luar negara.

Sementara itu, Siew Kiong berkata, kehadiran pemain industri serta produk pelancongan bertaraf antarabangsa sejak beberapa tahun lalu begitu membantu dalam perkembangan industri pelancongan di negeri ini terutama dalam daerah Johor Bahru.

"Sehingga kini, kita ada 10 taman tema di Johor Bahru yang secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri merancakkan industri pelancongan di negeri ini," katanya.

1085 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »