Ahad, 14 Januari 2018 | 1:25am
KEMPEN Derma Darah MRA mendapat sambutan yang memberansangkan di Beaufort.
PARA sukarelawan MRA bergambar kenangan setelah selesai kempen derma darah di Beaufort tadi.

MRA Sabah rayu lebih banyak darah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 230 pain darah yang diperoleh menerusi program Kempen Derma Darah anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Sabah di Beaufort semalam berjaya disumbangkan untuk kegunaan hospital di daerah-daerah Pedalaman Bawah Sabah.

Penyelaras Sekretariat MRA Daerah Beaufort, Mohammad Norizhuan Awang, berkata MRA akan terus merancang aktiviti berbentuk kemanusiaan dengan lebih kerap dalam usaha membantu pihak hospital memastikan bekalan darah mencukupi untuk pesakit.

"Program berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kebaikan menderma darah selain menggalakkan aspek kesukarelawanan di kalangan masyarakat umum terutamanya dari golongan generasi muda.

"Kempen Derma Darah yang diadakan di Dewan Pak Musa Daerah Beaufort, berjaya mengumpul sebanyak 230 pain darah dari penderma yang prihatin seterusnya diserahkan ke hospital pedalaman bagi kegunaan pesakit yang memerlukan," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Pengarah Program berkenaan akan bekerjasama dengan MRA Negeri Sabah untuk merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti berorientasikan kesukarelawanan dan kemanusiaan.

"Dalam masa yang sama juga, Penyelaras MRA Negeri Sabah, Alex Dennis bersama Sahabat MRA juga akan terus merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti kesukarelaan dan kemanusiaan dalam membantu mereka yang memerlukan di sekitar Sabah.

"Oleh yang yang demikian, MRA memohon kerjasama dari semua pihak seperti agensi kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu prihatin untuk menyalurkan sumbangan kepada MRA Sabah bagi meneruskan aktiviti yang dirancang," katanya.

agi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Maybank 5640 9820 6365 di atas nama Malaysian Relief Agency atau boleh melayari laman sesawang www.mra.my dan like facebook MRA Sabah untuk maklumat lanjut.

315 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »