Isnin, 15 Januari 2018 | 12:50pm

Empat beranak guna perahu jual pekasam

RANTAU PANJANG: Setiap kali musim tengkujuh, empat beranak ini terpaksa meredah banjir dengan menaiki perahu untuk menjual pekasam dan ikan sungai di Kampung Kelawar, di sini.

Mereka menggunakan perahu selepas rumah dan jalan untuk keluar dari kampung itu yang dinaiki air sehingga paras dua meter sekali gus menjadikan bot atau perahu sebagai kenderaan utama.

Mohd Nor Seman, 71, bersama isteri, Rohani Awang Ahmad, 51, dan dua anaknya, Mohd Arsyid, 40, serta dan Roslina, 38, mencari rezeki dengan menjual ikan pekasam dan ikan sungai di pondok kecil di tepi jalan yang juga laluan utama penduduk di jalan Jeram Perdah, di sini.

Katanya, mereka mula bergerak dari rumah pada jam 8.30 pagi dengan meredah jalan, sawah dan kebun getah yang ditenggelami air serta laluan sungai sejauh lima kilometer.

"Kami sudah berniaga pekasam dan ikan sungai beberapa tahun lalu, terutama ketika musim banjir kerana bekalan ikan yang banyak pada waktu ini.

"Kami berniaga seawal jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari sebelum kembali semula ke rumah menaiki perahu milik saya sendiri yang mengambil masa selama 15 minit.

"Memandangkan sudah biasa mengemudi perahu sejak dari kecil lagi, kami sekeluarga tidak takut untuk meredah banjir bagi mencari sesuap nasi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Nor berkata, penduduk di sekitar kampung itu sudah biasa melihat gelagat mereka sekeluarga yang akan bersama-sama keluar mencari rezeki menaiki bot ketika musim banjir.

"Ini sudah menjadi rutin kami sekeluarga, malah saya sendiri mengajak anak-anak untuk turut sama mencari rezeki yang dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan kami.

"Walaupun sudah biasa mengemudi perahu ini, aspek keselamatan tetap diutamakan dengan sentiasa berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

MOHD Nor Seman bersama isteri dan anak-anaknya menaiki perahu meredah banjir untuk mencari rezeki selepas kampung mereka sudah dinaiki air. - Foto Syaherah Mustafa
MOHD Nor Seman bersama isteri dan anak-anaknya menaiki perahu meredah banjir untuk mencari rezeki selepas kampung mereka sudah dinaiki air. - Foto Syaherah Mustafa
MOHD Nor Seman menolak perahu miliknya selepas selesai berniaga bersama isteri dan anak-anaknya untuk kembali ke rumah yang sudah dinaiki air di Kampung Kelawar, di Rantau Panjang, Kelantan. - Foto Syaherah Mustafa
MOHD Nor Seman menolak perahu miliknya selepas selesai berniaga bersama isteri dan anak-anaknya untuk kembali ke rumah yang sudah dinaiki air di Kampung Kelawar, di Rantau Panjang, Kelantan. - Foto Syaherah Mustafa

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X