Isnin, 15 Januari 2018 | 4:14pm
ZULKIFLI menyampaikan sumbangan makanan keperluan harian kepada sebahagian 155 pelajar ketika melawat Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pondok Beta Hilir terima bantuan FELCRA

bhkb&bh.com.my

KOTA BHARU: FELCRA Berhad (FELCRA) hari ini menyerahkan sumbangan makanan keperluan harian kepada 155 pelajar Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir yang menjadi mangsa kebakaran asrama lebih dua minggu lalu.

Sumbangan beras, gula dan susu pekat bernilai RM10,000 itu disampaikan Pengurus Besar FELCRA Wilayah Timur, Zulkifli Sidik melalui wakil Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Shamshudin Yusoff.

Zulkifli berkata, sumbangan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu dengan membantu mereka yang memerlukan.

"Sebelum ini FELCRA sudah menyerahkan wang tunai RM3,000 sebagai bantuan segera selepas tragedi kebakaran pada 28 Disember lalu.

"Kami juga dimaklumkan ada pihak lain akan membina bangunan baharu bagi menggantikan asrama yang terbakar dan pihak FELCRA akan membantu dalam bentuk yang lain dari masa ke semasa," katanya ditemui di sini, sebentar tadi.

Pada 28 Disember lalu, sebanyak 14 unit asrama Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, di sini, hangus dalam kebakaran pada jam 7.45 malam, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu, Timbalan Mudir Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Mohd Nazri Mohamed bersyukur di atas bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata, bantuan diterima bukan saja dalam bentuk wang tunai, tetapi juga makanan dan peralatan termasuk kitab dan jubah.

"Kita menerima sumbangan wang berjumlah mencecah RM200,000 dan ia akan digunakan untuk membeli peralatan serta kelengkapan pelajar nanti memandangkan bangunan baharu sudah ada pihak yang bersetuju membinanya," katanya.

caption - Zulkifli menyampaikan sumbangan makanan keperluan harian kepada sebahagian 155 pelajar ketika melawat Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir.

198 dibaca
Berita Harian X