Rabu, 17 Januari 2018 | 1:45pm
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary memasang lampu tenaga solar di Kampung Papaga, Papar. - Foto Rafiqah Dahali

Jambatan gantung bercahaya hasil inisiatif pelajar

PAPAR: Seramai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, Papar, mengambil inisiatif membaik pulih jambatan gantung usang yang tidak selamat digunakan di Kampung Papaga, di sini, hingga mampu menjadi tarikan pengunjung.

Jambatan gantung sepanjang 144.5 meter yang menyeberangi Sungai Papar menghubungkan Kampung Papaga dan sekolah itu bukan saja dibaik pulih strukturnya, malah ditambah dengan lampu tenaga solar.

Ini memudahkan penduduk menggunakan jambatan itu dalam keadaan selamat, termasuk pada waktu malam dengan adanya cahaya lampu tenaga solar.

Usaha membaik pulih jambatan dan pemasangan lampu tenaga solar melalui Projek Ninavau Sunsuzon (jambatan bercahaya) itu dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar hasil cetusan idea 20 pelajar yang menyertai pertandingan PETRONAS All About Youth (PAAY) 2017, pada tahun lalu.

Ketua Projek yang juga pelajar Tingkatan Lima SMK St Mary, Jovita Julius, berkata berdasarkan perbincangan awal, kumpulan pelajar terbabit hanya merancang membaik pulih jambatan gantung, namun wakil PETRONAS Buddies yang bertanggungjawab menyelia mereka mencadangkan ia ditambah lampu solar.'

"PAAY adalah pertandingan sekolah di seluruh Malaysia yang mana setiap sekolah diminta membuat projek kemasyarakatan. Di peringkat Sabah, sekolah kami mendapat tempat kedua, seterusnya terpilih menyertai pertandingan itu.

"Projek ini sudah siap sepenuhnya pada tahun lalu dan memberi manfaat bukan saja kepada penduduk setempat, malah pelajar sekolah yang berulang alik dari Kampung Papaga. Sebelum ini, kemudahan itu berada dalam kurang selamat," katanya kepada BH di sini.

Bagi menjayakan projek berkenaan, PETRONAS memberi dana RM10,000, manakala Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut menyalurkan sumbangan RM10,000.

Sebanyak RM5,000 turut dikumpul kumpulan pelajar itu bagi membeli empat lampu solar di tiang, enam panel lampu berwarna-warni yang menggunakan tenaga solar dan 122 lampu kecil tenaga solar dipasang di sepanjang jambatan.

Guru SMK St Mary yang juga penyelia projek kumpulan itu, Virus Salumbi, 44, berkata kumpulan itu turut memperoleh dana daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah sendiri.

"Pelajar turut mengambil inisiatif dengan menjual kemeja-T dan butang lencana kepada rakan sekolah untuk menambah dana. Pihak sekolah juga bercadang mempromosikan jambatan itu sebagai tarikan pengunjung.'

"Kami sudah berbincang dengan Lembaga Pelancongan Sabah bagi mempromosikan jambatan gantung ini sebagai tarikan di Papar,'" katanya.

Perasmian jambatan gantung itu disempurnakan Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, baru-baru ini.

Gambar menerusi sistem

Berita Harian X