Rabu, 17 Januari 2018 | 3:04pm
BANGUNAN Klinik Kesihatan 1Malaysia yang 'tersembunyi' menyebabkan penduduk setempat di Senadin, Miri, tidak menyedari kewujudan perkhidmatan itu. - Foto Kandau Sidi
BANGUNAN Klinik Kesihatan 1Malaysia yang 'tersembunyi' menyebabkan penduduk setempat di Senadin, Miri, tidak menyedari kewujudan perkhidmatan itu. - Foto Kandau Sidi

Lokasi 'tersembunyi' sukarkan rakyat dapat perkhidmatan

MIRI: Bangunan Klinik Kesihatan 1Malaysia yang 'tersembunyi' menyebabkan penduduk setempat di Senadin, di sini, tidak menyedari kewujudan perkhidmatan itu.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata masalah itu antara aduan paling banyak diterima Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menggesa papan tanda tunjuk arah yang lebih jelas, besar dan strategik perlu diwujudkan di laluan utama untuk kemudahan orang awam.

"Jika boleh, ia perlu dipindahkan ke premis yang lebih mudah dilihat atau di laluan utama supaya dapat diketahui perkhidmatan ditawarkan, khususnya pemeriksaan dan rawatan kesihatan untuk penduduk setempat," katanya selepas meninjau Klinik Kesihatan 1Malaysia Cawangan Senadin, di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan membabitkan pesakit luar, selain rawatan luka ringan dan penyakit lelah.

"Khidmat Klinik Kesihatan 1Malaysia akan terus dipantau untuk memastikan ia mencapai sasaran memberikan perkhidmatan yang dikehendaki rakyat di bandar.

"Setiap hari Klinik Kesihatan 1Malaysia di Senadin menerima sekitar 70 pesakit dalam satu masa. Ia mempunyai dua pembantu perubatan dan dua jururawat yang beroperasi jam 9 pagi hingga 9 malam," katanya.

Beliau berkata, bagi pesakit yang lebih serius, orang awam boleh mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tudan yang terletak berhampiran.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X