Khamis, 18 Januari 2018 | 9:37am
PENGARAH Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (duduk empat dari kanan) bergambar bersama pegawai dan anggota KM Banggi. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
KM Banggi antara dua kapal besar milik Maritim Malaysia yang beroperasi di Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Dua kapal tonggak Daerah Maritim 15

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Daerah Maritim Kota Kinabalu sentiasa bersedia menggunakan aset bagi mengawal keselamatan dan operasi menyelamat di laut.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata setakat ini pihaknya mempunyai dua kapal besar untuk penugasan di bawah Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu.

"Dua kapal iaitu Kapal Maritim (KM) Banggi dan KM Arau adalah dua daripada kapal besar milik Maritim Malaysia yang beroperasi di Daerah Maritim 15.

"Kedua-dua aset terbabit mampu belayar lebih lama bagi penugasan kawalan keselamatan di Zon Ekslusif Ekonomi di perairan Sabah," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah KM Banggi yang diadakan di atas kapal itu di jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar.

Majlis itu diadakan bagi menghargai khidmat Pegawai Memerintah KM Banggi, Komander Maritim Aidil Adzhar Salleh yang akan mengambil alih tugas sebagai Pengarah Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Sabah.

Pengganti beliau ialah Komander Maritim Mohammad Nasir Man yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Operasi Daerah Kota Kinabalu.

Yang turut hadir adalah Pengarah Maritim Daerah 15,  Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz.

Sementara itu, Mohd Zubil meminta semua pegawai dan anggota KM Banggi diharap dapat meneruskan kecemerlangan dalam setiap tugasan mereka.

Berita Harian X