Khamis, 18 Januari 2018 | 4:23pm
Seorang penduduk yang di kesan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuang Buang sampah secara haram di tepi jalan Tasek Mutiara 3, Taman Tasek Mutiara. - Foto ihsan MBI

Sampah: MBI akan kompaun wanita

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak membuang sampah secara haram di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata terbaru pihaknya akan mengenakan kompaun terhadap seorang wanita dikenal pasti melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Tasek Mutiara 3, Taman Tasek Mutiara dekat sini.

Beliau berkata, kesalahan itu berdasarkan gambar dirakam pihak awam yang kemudian memberikannya kepada MBI.

"Maklumat kejadian pembuangan sampah secara haram di tepi jalan di Tasek Mutiara 3 itu boleh dijadikan contoh kerjasama antara MBI dengan warga kota Ipoh penting dalam memastikan Ipoh kekal sebagai bandar terbersih di Malaysia.

"Sehubungan itu, MBI akan mengambil tindakan kompaun bernilai RM250 bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan terhadap pembuang sampah haram berkenaan.

"Mengkompaun adalah tindakan terakhir selepas langkah lain tidak diendahkan warga kota," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Zamri yang juga mahu MBI kekal pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di negara ini berkata, MBI membersihkan sebanyak 17,127 kali longgokan sampah haram sepanjang tahun lalu membabitkan 6,857 tan metrik sampah dikutip.

Katanya, ia membabitkan pembersihan berulang di 1,673 lokasi pembuangan sampah haram dalam kawasan seliaan PBT itu.

"MBI mengeluarkan 2,405 kompaun bernilai RM507,400 sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan 100 gotong-royong dan memasang 831 papan tanda larangan membuang sampah di sekitar bandar raya ini.

Hari ini, Zamri berkata, sebanyak 30 tan metrik sampah dibersih membabitkan tiga lokasi pembuangan sampah haram di kawasan Jalan Lengkok Rishah 2, Kawasan Perindusrian Silibin.

Sementara itu, beliau turun padang hari ini bertemu dan melihat anggota MBI menjalankan tugas rutin di lapangan, termasuk mengedarkan minuman kepada mereka.

Beliau yang mempraktikkan pendekatan turun padang bagi memastikan MBI memberi perkhidmatan terbaik kepada warga kota, bangga memiliki anggota berdedikasi tinggi dalam menjalankan tugas.

Berita Harian X