Jumaat, 19 Januari 2018 | 12:29pm
KOTA KINBALU 19 JANUARI 2018. Keadaan kereta selepas kemalangan di Jalan Kolam berdekatan lampu isyarat Bukit Padang dan mengorbankan seorang pemandu serta seorang penumpang, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM

2 warga asing maut dirempuh pacuan 4 roda

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga asing maut selepas kereta jenis PERODUA BEZZA dinaiki merempuh sebuah kereta pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Kolam-Bukit Padang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, mangsa warga Indonesia, Wijaya Erwin, 24, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang memandu kereta iaitu seorang warga Filipina dikenali sebagai Korpos Rayan Karim, 20-an meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Seorang lagi mangsa, iaitu pemandu kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, punca kemalangan akibat kecuaian pemandu PERODUA BEZZA tidak berhenti di simpang lampu isyarat ketika lampu merah untuk laluan ke arah kanan menyebabkannya berlanggar dengan kereta pacuan empat roda.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati pacuan empat roda datang dari arah Kota Kinabalu menghala ke Beverly Hill, Penampang, manakala kereta PERODUA BEZZA dari arah Beverly Hill.

Keadaan kereta selepas kemalangan di Jalan Kolam berdekatan lampu isyarat Bukit Padang dan mengorbankan seorang pemandu serta seorang penumpang, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM

"Ketika sampai di simpang lampu isyarat Bukit Padang, pemandu pacuan empat roda meneruskan perjalanan kerana lampu berwarna hijau tetapi tiba-tiba sebuah kereta PERODUA BEZZA datang dari arah Beverly Hill lalu melanggar keretanya.

"Penumpang PERODUA BEZZA disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan berkenaan yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk rawatan lanjut disahkan meninggal dunia pada, jam 5.50 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kedua-dua kenderaan berkenaan tidak mabuk, manakala keadaan cuaca ketika kemalangan baik dan jalan diterangi cahaya lampu jalan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil menghubungi mana-mana Balai Polis Trafik, berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kota Kinabalu, Inspektor Ngang Kalimpot di talian 017-8083272.

Siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X