Ahad, 21 Januari 2018 | 1:28pm

Warga asing berniaga jejas peniaga tempatan

KEGIATAN perniagaan yang dilakukan orang asing di utara Sarawak dikhuatiri menjejaskan peluang perniagaan penduduk tempatan jika tidak ditangani awal. - Foto Kandau Sidi

MIRI: Segelintir warga asing di bandar raya ini dikesan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk berniaga tanpa kebenaran.

Malah, ada antara warga asing terbabit memonopoli aktiviti perniagaan di beberapa pasar buah-buahan di sekitar pusat bandar raya sehingga menjejaskan peniaga tempatan.

Ini didedahkan Datuk Bandar Miri, Adam Yii, selepas mengikuti operasi khas dilaksanakan Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi mengekang aktiviti berkenaan.

DATUK Bandar Miri, Adam Yii. - Foto Kandau Sidi

Empat peniaga buah-buahan warga Indonesia ditahan dalam operasi itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi berkenaan dilancarkan selepas MBM menerima aduan peniaga tempatan berhubung kegiatan warga asing terbabit sehingga menjejaskan 'periuk nasi' mereka.

"Hasil pemantauan mendapati warga asing terbabit mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti perniagaan di Sarawak berikutan bekalan buah-buahan meningkat.

"Namun, kegiatan golongan berkenaan menjejaskan peluang perniagaan peniaga tempatan menyebabkan kita terpaksa mengambil tindakan tegas," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Katanya, tindakan warga asing terbabit melanggar peraturan imigresen apabila menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk berniaga di negeri ini.

"Ini perlu dibanteras sebelum menjadi lebih serius sehingga mengancam periuk nasi peniaga tempatan," katanya.

Adam berkata, MBM menerima banyak aduan mengenai aktiviti perniagaan haram warga asing di wilayah utara negeri ini.

"Kita tidak mahu mereka mengambil peluang ini, sehingga menjejaskan ekonomi penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan secara sah," katanya.

Beliau berkata, bersempena musim buah-buahan ketika ini, MBM membuka lokasi khusus di sekitar bandar raya ini untuk membantu komuniti peniaga buah menjalankan perniagaan mereka secara tersusun.

Katanya, selain memastikan kelancaran lalu lintas, ia juga bagi memudahkan MBM menyelaraskan proses pengutipan dan pembuangan sampah secara sistematik di kawasan terbabit.

Berita Harian X