Ahad, 21 Januari 2018 | 2:48pm
ANAK kepada Vitalianus Joseph Lim @ Ubing, salah seorang pejuang pembebasan Sabah ketika perang dunia kedua, Monica Lim (kanan) ketika ditemui pada upacara memperingati mangsa perang di Taman Tugu Peringatan Petagas. - Foto Malai Rosmah Tuah

Nama Ubing diabadi pada tugu peringatan

KOTA KINABALU: Anak pejuang pembebasan Sabah ketika dikenali sebagai Borneo Utara pada Perang Dunia Kedua, Monica Lim, terharu apabila nama bapanya, Vitalianus Joseph Lim @ Ubing diabadikan pada plak peringatan baharu di Taman Tugu Peringatan Petagas, di sini hari ini.

Ubing antara lapan wira yang diberi penghormatan apabila nama mereka diletakkan dalam plak peringatan atas keberanian menentang tentera Jepun. 

Monica, 90, berkata beliau terharu kerana nama bapanya disemadikan dalam plak peringatan di tugu berkenaan.

"Sekurang-kurangnya dengan ada nama bapa di tugu ini, saya dan keluarga lebih kerap datang ke sini," kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Lebih 60 ahli keluarga dan waris mendiang Ubing hadir sempena upacara memperingati mereka yang terkorban mempertahankan Sabah ketika penaklukan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Monica yang mempunyai 10 anak, antara yang diberi penghormatan meletakkan bunga di perkarangan tugu plak yang baharu dibina khusus untuk lapan wira berkenaan.

Tujuh yang lain ialah Lothar Wong Manjaji, Paul Lee Fook Onn @ Paul Lee Onn, Simon Thien, Bung Ah Tee @ Stephan Pan Tet Liong, Chong Pin Sin, Lim Hock Beng dan Mohinder Singh.

Mereka dianggap anti Tentera Jepun serta termasuk dalam senarai hitam tentera penjajah berkenaan ketika itu.

Berdasarkan sejarah, pada peringkat ketiga pelan pasukan pertahanan Tentera Jepun (Mei 1945), iaitu ketika penjajahan di Borneo Utara (Januari 1942-September 1945), seorang pegawai Tentera Jepun mengeluarkan tiga arahan penghapusan terhadap lapan orang awam.

Antara 12 Jun dan awal Julai 1945, lapan pejuang itu termasuk Ubing ditahan dan dinafikan perbicaraan di mahkamah tentera, lalu diseksa dan dibunuh tanpa keadilan. Hanya mayat Hock Beng serta Mohinder Singh ditemui.

Sementara itu, upacara kali ke-69 di Tugu Peringatan Petagas semalam didahului dengan tiupan 'Last Post', diikuti upacara bertafakur selama 20 saat untuk mengenang mereka yang terkorban.

Pairin kemudian meletakkan kalungan bunga mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, diikuti Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joannes Solidau yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Pada 21 Januari 1944, sebanyak 176 anggota gerila penentang Jepun yang dikurung di penjara 'Batu Tiga' diangkut ke Petagas sebelum dibunuh secara beramai-ramai.

Tapak tugu peringatan Petagas adalah kawasan gerila penentang Jepun berkenaan dibunuh dan dikuburkan. Nama mangsa diabadikan pada tugu itu bagi mengenang jasa bakti dan keberanian mereka mempertahankan kedaulatan Borneo Utara daripada penjajahan Jepun.

Berita Harian X