Isnin, 22 Januari 2018 | 1:05pm
TIMBALAN Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique (tengah) bersama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Liang Teck Meng (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja menyiapkan dinding benteng pemisah di Pusat Pelupusan Sampah Ladang CEP Renggam, Kluang yang runtuh sebelum ini. - Foto Adnan Ibrahim

Pusat Pelupusan Sampah Bukit Payong beroperasi 2020

BATU PAHAT: Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, di Parit Sulong, dekat sini, dijangka beroperasi mulai 2020.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, berkata projek berkenaan sudah bermula dengan kontraktor projek juga sudah dilantik.

Katanya, pembinaan serta pembukaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong amat penting berikutan pusat pelupusan sampah sedia ada di beberapa lokasi berhampiran sudah mencapai tahap maksimum dan kritikal.

"Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang CEP, Renggam, di Kluang yang selama ini menjadi antara pusat pelupusan utama di kawasan Johor Tengah juga hanya akan beroperasi sehingga 2019 sebelum ditutup berikutan sudah mencapai tahap maksimum.

"Projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong dengan kos pembinaan RM58.66 juta sudah pun bermula dengan tender projek sudah selesai malah kontraktor juga sudah dilantik.

"Kementerian amat berharap pusat berkenaan yang dibina di tanah seluas 42.18 hektar dapat dibuka dan beroperasi sepenuhnya pada 2020 sekali gus menyelesaikan isu kekurangan kawasan pusat pelupusan sampah di kawasan Johor Tengah, " katanya di sini, semalam.

Projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong sebelum ini sudah beberapa kali tertangguh berikutan bantahan dibuat penduduk di kawasan Bukit Payong, Parit Sulong, yang tidak bersetuju dengan pembinaannya.

Penduduk kampung dilaporkan bimbang bukan sahaja dengan faktor bau, pencemaran air serta nilai hartanah malah risau jika ia menjejaskan kehidupan mereka berikutan jalan di situ bakal digunakan lori pengangkut sampah dengan kerap.

Apabila dibuka nanti, Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong akan menampung sisa buangan dari kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Sementara itu, Halimah berkata, program konsultasi bersama penduduk juga masih diteruskan dengan sebahagian penduduk sudah memahami impak positif projek berkenaan yang amat menitik beratkan pengurusan sisa pepejal yang moden dan bersih.

Berita Harian X