Isnin, 22 Januari 2018 | 2:36pm
KETUA Menteri, Tan Sri Musa Aman menyampaikan replika cek kepada Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul pada Program Bicara Profesionalisme Pendidikan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sri Libaran, Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pencapaian pelajar luar bandar meningkat

SANDAKAN: Kerajaan negeri menghargai usaha Jabatan Pendidikan Sabah meningkatkan prestasi kecemerlangan murid di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata berdasarkan taklimat serta tinjauannya ke setiap daerah, beliau mendapati prestasi murid luar bandar serta pedalaman negeri itu sudah meningkat.

Katanya, usaha jabatan itu selaras dengan hala tuju kerajaan yang menumpukan aspek pendidikan dalam memajukan negeri menerusi usaha membangunkan modal insan.

"Ia pencapaian yang harus dibanggakan hasil usaha guru serta Jabatan Pendidikan negeri sebagai penggerak dan pendidik anak bangsa.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita sentiasa menyokong usaha murni ini. Saya sendiri ketika mula menjadi Ketua Menteri, memperkenalkan pelan hala tuju dengan mengangkat beberapa sektor penting seperti pelancongan kerana kita sedar konteks ini besar dan ia menjadi kenyataan sekarang.

"Begitu juga sektor pertanian kerana kita ada tanah yang luas dan subur, pembuatan dan pembangunan modal insan," katanya ketika merasmikan Program Bicara Profesionalisme Pendidikan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sri Libaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi serta Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat yang menyalurkan pelbagai peruntukan bagi membantu sekolah di Sabah.

Sementara itu, Maimunah berkata, pada tahun ini, seramai 38,174 murid dan pelajar layak menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) membabitkan peruntukan kira-kira RM38.1 juta, sekali gus membantu mengurangkan beban ibu bapa.

Katanya, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sandakan menerima RM3.75 juta untuk diagihkan kepada 37,526 murid di daerah itu.

"JPN juga dalam usaha memenuhi Dasar 90:10 untuk pengambilan guru daripada kalangan anak Sabah.

"Setakat Januari ini, kita sudah mencapai 84 peratus bagi sekolah rendah dan 77.7 peratus bagi sekolah menengah.

"Kita yakin dapat mencapai dasar berkenaan menjelang 2019 menerusi usaha melantik guru interim," katanya.

Berita Harian X