Jumaat, 26 Januari 2018 | 2:42pm
DATUK Jalaluddin Alias bergambar selepas menyerahkan sumbangan bencana banjir dan makanan kepada mangsa banjir Kampung Juntai, Jelebu yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto NSTP/Ihsan APM
DATUK Jalaluddin Alias bersama APM Jelebu melawat kawasan banjir Kampung Juntai, Jelebu. - Foto NSTP/Ihsan APM

28 mangsa banjir dibenar pulang hari ini

JELEBU: Tujuh keluarga yang dipindahkan ke dewan orang ramai akibat banjir kilat di Kampung Juntai, Simpang Durian di sini, sejak awal pagi semalam, dijangka dibenarkan pulang petang ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Md Marisa Aminuddin, berkata banjir hampir surut sepenuhnya dengan hanya satu rumah sahaja yang masih terjejas kerana air bertakung di kawasan laman.

"Hari ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mula membantu pemilik rumah membersihkan kediaman mereka dan jika cuaca semakin baik mereka akan dibenarkan pulang petang ini" katanya di sini, hari ini.

Hujan lebat lebih tiga jam menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan rendah terutama rumah yang terletak berhampiran sungai di kampung berkenaan, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Seramai 28 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan oleh APM, bomba, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ke pusat pemindahan sementara di dewan orang ramai kampung itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, turun padang melawat mangsa banjir terbabit, pagi tadi.

Beliau turut menyampaikan sumbangan makanan selain meninjau kawasan yang dilanda banjir kilat di kampung itu.

Berita Harian X