Ahad, 28 Januari 2018 | 10:49pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani (tengah) bergambar bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahman (empat dari kiri); Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud (tiga dari kanan); Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim (dua dari kanan) dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada majlis perasmian Laman Serene di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMANDANGAN Laman Serene di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMANDANGAN Laman Serene di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Laman Serene mercu tanda Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Laman Serene di hadapan Istana Bukit Serene, di sini, menjadi antara mercu tanda baharu yang akan menarik kehadiran pengunjung khususnya pelancong luar negara ke bandar raya itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahman, berkata laman yang dibina di keluasan 433 meter persegi sejak April tahun lalu itu, membabitkan peruntukan berjumlah RM6.8 juta.

Katanya, pembangunan ikon Laman Serene itu adalah kesinambungan daripada Laman Mahkota dan Laser Fountain yang sedia ada di hadapan Istana Bukit Serene.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menamakan laman ini sebagai Laman Serene kerana ia berhampiran dengan Istana Bukit Serene, di sini.

"Laman Serene dibangunkan oleh pemaju, President Saing Sdn Bhd yang berpengalaman luas dalam membangunkan monumen.

"Ini menjadi satu lagi mercu tanda yang ada di bandar raya buat tatapan umum kerana ia terletak di kawasan strategik, selain menjadi lokasi kepada masyarakat setempat untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Laman Serene, yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud.

Amran berkata, masyarakat setempat dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, selain bekerjasama memelihara seni bina yang dipamerkan di kawasan itu.

"MBJB turut menempatkan lapan penguatkuasa sepanjang masa terutama pada waktu malam bagi memastikan kebersihan terpelihara, sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dan keceriaan di sini," katanya.

INFO

Konsep pembangunan Laman Serene

# Arca bulan bintang

Setinggi 12 meter serta diinspirasikan daripada bulan bintang yang terdapat dalam bendera Johor

#Menara

Hasil adaptasi daripada Menara Istana Bukit Serene dengan suntikan gaya moden kontemporari, moden dan tradisional seperti kerawang bagi kesan pencahayaan yang lebih menarik

#Dataran

Konsep reka bentuk bintang lima seperti yang terdapat pada bendera Johor.

Kombinasi bintang lima yang berlapis menjadikan 10 bucu bintang, yang mewakili 10 daerah dalam Johor

Berita Harian X